Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menasihati semua calon parti yang bertanding mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang pemilihan yang pertama kali parti itu tidak lama lagi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia perlu bagi menjamin proses pemilihan parti berjalan adil dan tertib.

“Berikan kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti yang dilantik untuk mengurus perjalanan pemilihan parti kita berlangsung dalam suasana muhibbah dan demokratik.

“Lebih penting ialah pemilihan parti adalah medan untuk setiap ahli melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin demi kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasihat itu sempena pemilihan Bersatu peringkat cawangan yang akan berlangsung bermula 15 Februari hingga 29 Mac ini manakala pemilihan bahagian untuk memilih ahli-ahli Majlis Tertinggi Bersatu diadakan serentak pada 18 April ini.- MalaysiaGazette