KUALA LUMPUR – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling baik bagi menangani pelbagai isu yang melanda Lembaga Tabung Haji (TH).
Ini kerana dalam agensi itu dikatakan telah berlaku salah guna kuasa dan “urusan luar biasa” sama ada ketika pengurusan terdahulu (Barisan Nasional) atau baharu (Pakatan Harapan).
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sendiri sering kali menyatakan berlaku salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan kewangan TH oleh pengurusan lama tetapi tidak ada pendakwaan dibuat.
“Sedangkan, isu penjualan tanah ladang milik TH Plantation Berhad dan pelupusan aset TH kepada syarikat SPV yang penuh dengan keraguaan yang berlaku di bawah rejim baru juga perlukan jawapan sebenar mengenainya.
“Justeru, RCI yang dijamin ketelusannya adalah sangat penting bagi menangani persepsi awam terhadap TH, sekali gus menghapuskan tanggapan negatif yang dilemparkan oleh pihak berkenaan ke atas TH,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, sikap menteri berkenaan pula yang menolak keperluan RCI pada masa siasatan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelihatan seperti tiada perkembangan sejak lebih setahun lalu.
Katanya, maklum balas yang telus tidak diberikan bagi menjelaskan isu semasa dan ini dianggap pelik, sedangkan beliau paling lantang menyuarakan kesungguhan membasmi penyelewengan melibatkan kepentingan TH.
“Jika sungguh kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) serius mahu menanganinya, buktikannya dengan menubuhkan RCI.
“Jangan jadikan isu melanda TH yang amat penting bagi umat Islam ini semata-mata sebagai peluru untuk menyerang seteru,” katanya. – MalaysiaGazette
















