Datuk Mahfuz Omar. Sheraton Move party hopping anti-party hopping dewan rakyat parliament
Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR : Mengikut Seksyen 60A(1) Akta Kerja 1955 pihak majikan hendaklah memberi pelepasan kepada pekerja beragama Islam untuk menunaikan sembahyang, iaitu sekurang-kurang 20 minit bagi setiap waktu solat dan sekurang-kurang satu jam 30 minit bagi solat.

Bagaimanapun akta berkenaan hanya berbentuk garis panduan dan tindakan yang boleh diambil Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia adalah menasihati majikan untuk mematuhi garis panduan berkenaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata walaupun garis panduan berkenaan bukan berbentuk penguatkuasaan namun aduan terhadap majikan akan direkodkan.

Beliau turut menasihatkan Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA) dan mana-mana operator kren yang tidak dibenarkan menunaikan solat waktu atau solat Jumaat untuk tampil membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia.

“Pihak JTK akan membuat lawatan ke tempat majikan dan akan menasihati mereka untuk tidak menafikan hak untuk beragama seperti menunaikan solat.

“Mengikut garis panduan, majikan perlu memberi ruang 20 minit bagi seorang pekerjanya solat waktu dan satu jam setengah bagi solat Jumaat.

“Jika tempat solat tidak jauh daripada tempat kerja, majikan boleh membenarkan pekerja mereka keluar jam 12.45 tengah hari hingga jam 2.15 petang untul solat Jumaat dan jika jauh, dinasihatkan sekurang-kurangnya dua jam tempoh diberi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau mengulas laporan oleh MalaysiaGazette berhubung pendedahan PERKREMA mengenai aduan operator kren yang dilarang menunaikan solat Jumaat.

Timbalan Presiden PERKREMA, Raziz Abd Rahman dilaporkan berkata pihaknya menerima sekurang-kurangnya 10 aduan daripada daripada operator kren menara yang tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat oleh majikan.

Artikel berkaitan: PERKREMA dedah operator kren dilarang solat

Isu itu dipercayai sudah lama berlaku dan semakin menjadi-jadi membabitkan lebih 200 operator kren di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya bagaimanapun pekerja terpaksa akur kerana bimbang dipecat.

Alasan majikan yang bukan beragama Islam adalah masa solat Jumaat terlalu panjang menjejaskan kos masa operasi projek.

Sementara itu, Mahfuz turut menambah pekerja termasuk operator kren tidak perlu bimbang dibuang kerja jika membuat aduan kepada JTK kerana pihaknya akan merahsiakan maklumat sumber.

“Jika majikan bertindak memecat secara salah kerana aduan yang sahih, tindakan ke atas majikan boleh diambil,” katanya. – MalaysiaGazette