Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Ringgit dijangka terus diniagakan dalam kedudukan defensif berbanding dolar US minggu depan berikutan ketidaktentuan global berdasarkan perkembangan terkini mengenai penularan COVID-19, kata penganalisis.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata, untuk minggu depan, jika unit tempatan meningkat melepasi purata pergerakan selama 100 hari pada paras 4.14 berbanding dolar US, didorong oleh sentimen tempoh mengelak risiko yang berterusan, halangan yang lebih kukuh akan berada pada purata pergerakan selama 200 hari pada paras 4.15.

Data inflasi Malaysia pada Januari yang dijangka pada Jumaat depan diunjurkan sebanyak 1.8 peratus.

“Dengan tekanan inflasi yang terurus, Bank Negara Malaysia mempunyai ruang yang mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah sokongan seterusnya, jika penularan COVID-19 memberi impak yang lebih besar daripada jangkaan ke atas ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Tan berkata, prospek lebih banyak pelonggaran dasar monetari boleh menjejaskan prestasi ringgit.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar US pada 4.1360/1400.

Mengulas mengenai prestasi ringgit minggu ini, Tan berkata, ringgit menyaksikan turun naik dalam tempoh beberapa hari, hampir mencecah paras 4.15 berbanding dolar US sebelum mengukuh di bawah 4.13, hanya mengakhiri minggu ini dalam julat itu.

“Mata wang Asia telah dilanda oleh kebimbangan mengenai penularan COVID-19 dan potensi kesan ekonomi kepada rantau ini,” katanya.

Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 Malaysia yang lebih rendah daripada jangkaan dijangka mempengaruhi prestasi ringgit minggu ini, kebimbangan pelabur mengenai masa depan boleh dikurangkan oleh langkah-langkah sokongan, fiskal dan monetari, yang dilaksanakan oleh penggubal dasar untuk menampan asas ekonomi Malaysia.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 2.9751/9797 daripada 2.9730/9769 Jumaat lepas dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3904/3973 daripada 5.3466/3534.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.4851/490 daripada 4.5306/5354 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7665/7705 daripada 3.7672/7712 sebelum ini. – MalaysiaGazette