Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Pemansuhan hutan atau mengeluarkan tanah dari Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor untuk tujuan pembangunan bercampur mendapat bantahan pelbagai pihak.

Ini kerana, selain tiada kepentingan awam, hutan seluas 930.93 hektar atau 77 peratus untuk pembangunan bercampur dan dinyahwartakan itu terlalu besar keluasannya.

Menurut Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, hutan simpan itu merupakan kawasan hutan paya gambut dan penempatan masyarakat Orang Asli.

Berdasarkan data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 2017, hanya 253.45 hektar hutan paya gambut daripada 4.41 juta hektar keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sahaja terdapat di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu.

“Hutan paya gambut memainkan peranan penting kepada manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sejagat.

“Antaranya memelihara ekologi dan kepelbagaian biologi, menyediakan habitat kepada hidupan liar, penahan air dan pencegah banjir, mengelakkan hakisan dan menstabilkan iklim serta sebagai sumber keperluan sosio-ekonomi manusia,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata, kini hutan paya gambut terus diancam tanpa kawalan sama ada untuk pembangunan, pertanian komersial, ladang hutan dan penempatan menyebabkan implikasi besar dengan mengubah struktur sebenar hutan paya gambut.

Kata beliau, kebanyakan projek itu tidak menghasilkan pulangan diharapkan, malah kestabilan dan integriti ekosistem turut terjejas, selain meninggalkan kemusnahan yang memberi kesan kepada penduduk setempat.

“Disebabkan ketidakfahaman kepada keunikan ekosistem tanah paya gambut, selain mengaut keuntungan oleh pihak berkepentingan, pemansuhan hutan atau mengeluarkan tanah dari hutan paya gambut dalam skala yang besar dilihat satu keterlaluan.

“Perkara ini seharusnya dihentikan serta-merta dengan tindakan yang tegas demi kemaslahatan rakyat sejagat.

“Saya melihat pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya gambut perlu ditingkatkan lagi dengan kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri dengan melaksanakan Pelan Rancangan Pengurusan Bersepadu Hutan Paya Gambut di setiap negeri secara komprehensif dan konsisten,” katanya.

Che Alias turut berkata, sebarang kegiatan yang mengancam hutan paya gambut perlu dibanteras dengan penguatkuasaan dan perkasaan undang-undang berkaitan.

Oleh itu, beliau menyarankan sebarang projek pembangunan yang menjejaskan HSK sedia ada dihentikan serta-merta di seluruh negara.

Malah, pengurusan hutan paya gambut seharusnya ditingkatkan dari semasa ke semasa, selain memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memelihara dan memulihara hutan paya gambut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast