Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Agensi agama negeri digesa menggazetkan fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing memandangkan bidangkuasa berkaitan Islam di bawah kuasa negeri.

Sehubungan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mesti mengambil tindakan proaktif meminda undang-undang bagi menjamin kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar semakan kehakiman dalam kes membabitkan undang-undang syariah bagi negeri-negeri yang belum berbuat demikian.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim ketika membuat gesaan itu berkata, semua pihak mesti terus konsisten memainkan peranan bagi mengukuhkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini mengikut posisi dan kemampuan masing-masing.

Katanya, tiada jaminan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mungkin bertukar posisi sebagaimana terjadi dalam isu penukaran agama anak secara sepihak.

“Dalam isu ini, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi yang menetapkan persetujuan kedua ibu bapa diperlukan sebelum penukaran agama anak, telah berbeza pandangan dan menukar pendirian daripada mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini,” katanya kepada media, hari ini.

Beliau melahirkan kesyukuran dengan keputusan majoriti 4-3 oleh Mahkamah Persekutuan kerana mengiktiraf institusi fatwa dalam kes membabitkan anak tak sah taraf yang mahu di’bin’kan dengan nama bapa biologinya.

Keputusan itu dicapai melalui undi yang sengit daripada panel tujuh hakim yang bersidang.

Jelas Ahmad Amzad, keputusan ini juga sekali gus dapat mendiamkan hujah kelompok anti syariah yang mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) institusi sekular yang tidak boleh merujuk kepada hukum syariah dalam pentadbirannya.

“Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan JPN tidak boleh merujuk kepada fatwa negeri dalam membuat pendirian mengenai penama bapa kepada anak tidak sah taraf.

“Walaupun begitu, umat Islam tidak boleh merasa selesa dengan keputusan kes yang menyebelahi undang-undang Islam pada masa ini.

“Ini kerana kelompok liberal tidak akan berdiam diri dan akan berterusan mencabar kes berkait dengan undang-undang Syariah di Mahkamah Sivil,” katanya.

Beliau memberi contoh, selesai sahaja penghakiman kes ‘bin Abdullah’ diumumkan, Sisters in Islam (SIS) telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan enakmen negeri Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri untuk mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa negeri.

Permohonan itu, ujarnya, dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan NGO itu sebagai sesat kerana Mahkamah Syariah Selangor mempunyai kuasa untuk menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri. – MalaysiaGazette