Foto Facebook FAM

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi menerima lampu hijau daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi pemain naturalisasi pasukan negara.

Perkembangan terbaru ini disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Naturalisasi FAM.

Keputusan oleh FIFA itu bermakna pemain kelahiran Kosovo berusia 27 tahun ini layak untuk beraksi bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada baki tiga perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe akan menyambung aksi kelayakan Kumpulan G pusingan kelayakan tersebut menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac akan datang, sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil selang empat hari kemudian.

Kehadiran Liridon bakal memberi lebih banyak pilihan buat Cheng Hoe di bahagian tengah pasukan negara dengan pemain seperti Brendan Gan, Azam Azih, Syameer Kutty, dan Akram Mahinan antara pemain yang sering menganggotai skuad Harimau Malaya sejak dua tahun lalu.

Namun Cheng Hoe turut pernah mengingatkan Liridon turut perlu membuktikan dirinya layak untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan sebelum mendapat panggilan seperti pemain lain.

Selain Malaysia, UAE dan Vietnam, dua lagi negara yang turut berada di dalam Kumpulan G ialah Thailand dan Indonesia. Juara dan empat naib juara terbaik kumpulan akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2020 zon Asia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast