Nuridah Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Wujud salah faham yang ketara oleh Sisters in Islam (SIS) dalam memahami isu perundangan di mahkamah syariah selain penilaiannya dilihat tidak mengambilkira fakta semasa sebenar.

Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh menjelaskan, isu kelemahan pelaksanaan prosedur dan penguatkuasaan undang-undang bukan hanya terjadi di mahkamah syariah sahaja malah turut berlaku dalam mahkamah sivil.

“Sebagai rakyat yang mendokong kedaulatan undang-undang, kita menegaskan kritikan terhadap mana-mana sistem kehakiman mesti dengan fakta yang benar serta tidak menghina mahkamah.

“Berbanding desakan mengubah hukum syarak tanpa latarbelakang disiplin pengetahuan agama yang meyakinkan, cadangan bagi memperkemaskan lagi prosedur perceraian adalah lebih diharapkan daripada SIS, selagi mana ia tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah,” katanya kepada media hari ini.

Beliau mengulas sebuah klik video mengenai rakaman temu bual pengasas SIS, Zainah Anwar bertajuk “Seeking Equality for Women in Islam” yang dimuat naik sebuah portal berita pada 7 Februari lalu.

Video itu bertujuan untuk membuktikan SIS telah menerajui perjuangan hak wanita Islam di Malaysia dan semestinya kenyataan dalam video tersebut menimbulkan banyak persoalan dan pertikaian.

Menurut Nuridah, semua pihak perlu menerima hakikat kedatangan penjajah menjadikan mahkamah syariah dianak-tirikan berbanding mahkamah sivil yang menerima hakim dari England.

Sehingga hari ini, katanya, mahkamah syariah sepertimana juga mahkamah sivil masih memerlukan proses tambah baik yang berterusan.

“Pada masa sama, mahkamah syariah masih perlu diperkasakan untuk berdiri sama tinggi dengan mahkamah sivil terutama dari sudut penambahan bidang kuasa, infrastruktur dan tenaga kerja.

“Kedudukan skim gaji hakim, bilangan dewan bersidang, jumlah hakim, penolong pendaftar dan staf sokongan sangat diperlukan bagi memastikan Mahkamah Syariah dapat menyelesaikan perbicaraan kes dengan lebih efisien.

“Adalah tidak adil mengkritik kekurangan mahkamah syariah secara berat sebelah dalam keadaan perkara utama yang perlu diberi perhatian telah diabaikan sekian lama,” katanya.

Beliau merujuk Seksyen 27 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 yang dipinda bagi mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar untuk menyelesaikan masalah lambakan dokumen menyebabkan berlaku tunggakan Surat Perakuan Cerai (SPC) sebelum ini.

Bahkan, kata beliau, semua pihak belum peka fakta semasa harus menyedari hakim mahkamah syariah juga sangat terbuka menerima pakai prinsip undang-undang sivil berkaitan prosedur kes selagi mana selaras dengan hukum syarak seperti prinsip perlanjutan tempoh masa, prinsip penyalahgunaan proses mahkamah, prinsip res judicata dan lain-lain bagi memastikan pihak-pihak mendapat keadilan di mahkamah syariah.

Katanya, DMPM juga menyarankan kepada SIS, walaupun masih wujud kelompangan dalam Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, sebarang cadangan baharu yang ingin diusulkan mesti disandarkan kepada rujukan yang tepat daripada al-Quran, Hadis dan pendapat ulamak.

“Penafsiran kembali ayat al-Quran tanpa menggunakan metod yang betul serta dibuat oleh pihak yang tidak mempunyai kelayakan dan autoriti akan membuka kepada tafsiran membuta-tuli.

“Keadilan kepada wanita akhirnya hanyalah satu utopia kerana cadangan yang bertentang dengan hukum syarak hanya akan lebih memburukkan situasi wanita Islam di Malaysia,” katanya.

Justeru, Muslimat Pas sentiasa berusaha memperjuangkan isu dan hak wanita dengan pihaknya berbesar hati mengadakan pertemuan dengan SIS bagi memberikan penjelasan lebih lanjut dan terperinci mengenai hukum dan undang-undang keluarga Islam. – MalaysiaGazette