KUALA LUMPUR – Semua pemilik pusat beli-belah dan rumah kedai diminta supaya memberikan rebat sewa sebanyak 30-50 peratus bermula bulan ini sehingga enam bulan akan datang.

Gesaan itu disuarakan Persatuan Peruncit-Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA), Pertubuhan Peruncit Bumiputera (BRO), Persekutuan Rangkaian Runcit dan Francais Asean (ARFF) dan Persatuan Penjenamaan Malaysia (BAM).

Ini bagi membantu penyewa yang menerima kesan akibat penularan wabak Covid-19.

Perkara ini telah dilakukan oleh pemilik-pemilik pusat membeli belah dan rumah kedai di Hong Kong dan Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini, lima persatuan itu memaklumkan, perniagaan runcit di Malaysia menerima impak yang besar akibat penularan wabak berkenaan.

Tambahnya, kebanyakan ahli persatuan mengadu jualan mereka jatuh sehingga 50 peratus dan sebahagian menjangkakan perolehan boleh menjunam melebihi 80 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Ini bukan sahaja disebabkan oleh kedatangan pelancong yang semakin berkurangan malah orang tempatan juga lebih berhati-hati dan memilih untuk duduk di rumah berbanding menghabiskan masa di pusat-pusat beli-belah.

Malah, perniagaan runcit juga terpaksa menanggung kos tanggung jawab sosial tambahan apabila terpaksa membersihkan kawasan umum dengan lebih kerap di samping meminta kakitangan pentadbiran mengambil suhu badan serta memberi nasihat kepada pekerja dan pelanggan mengenai amalan kebersihan.

Para peniaga juga terpaksa menyediakan lebih banyak hand sanitizer di lokasi-lokasi strategik.

“Sewa merupakan bahagian yang tinggi dalam kos operasi kami di mana ketika ini pemilik dan penyewa perlu mempunyai kerjasama yang baik.

“Pemilik perlu mempunyai “tanggung jawab sosial” untuk membantu kami mengekalkan pekerjaan dan merangsang penggunaan domestik bagi ekonomi Malaysia,” kata kenyataan itu.-MalaysiaGazette