KUALA LUMPUR – Sesuatu yang dianggap agak luar biasa terjadi ketika perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Prosiding yang sudah masuk hari ke-80 pagi ini terpaksa ditangguhkan sehingga Isnin depan berikutan ‘aduan’ pihak pembelaan melibatkan saksi ketujuh, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nasharudin Amir yang hanya mahu memberikan keterangan di kandang saksi sahaja.
Walhal pasukan pembelaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula mahu bertemu dengan Mohd Nasharudin dan menemubual saksi itu terlebih dahulu namun pegawai SPRM itu enggan berbuat demikian.
Sepatutnya pasukan peguambela bertemu dengan Mohd Nasharudin dalam satu pertemuan pada Sabtu lepas namun pegawai itu enggan bertemu sebaliknya hanya mahu memberikan keterangan di perbicaraan terbuka sahaja.