Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi penghidap kes Coronavirus (Covid-19) sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang pada hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia adalah kes kesembilan iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang pernah dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Beliau juga merupakan warga negara tempatan (Malaysia) pertama yang telah disahkan positif jangkitan Covid-19 sebelum ini.

“Dengan perkembangan terbaharu itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ingin memaklumkan bahawa tiada kes baharu dilaporkan pada hari ini dan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini terus kekal dengan 22 kes yang mana hanya 13 kes yang masih dirawat di wad,” katanya dalam kenyataan perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya.

Tambah beliau, daripada keseluruhan 22 kes yang dilaporkan setakat ini, sebanyak 12 kes melibatkan Patient-Under-Investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Justeru katanya, daripada jumlah keseluruhan 22 kes itu, seramai 15 orang adalah warganegara China, enam orang adalah warganegara Malaysia dan seorang adalah warganegara Amerika Syarikat (AS).

“Setakat ini daripada 22 kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini, sembilan kes telah discaj daripada wad kerana mereka telah menjalani ujian pengesanan ulangan dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut.

“Justeru, sehingga hari ini (17 Februari 2020) sebanyak 557 Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dilaporkan dan sebanyak 316 kontak rapat telah dikenalpasti.

“Sebagaimana kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail semalam berkenaan seorang wanita warganegara Amerika Syarikat yang disahkan positif jangkitan Covid-19.

“Komunikasi dengan negara Kemboja telah dilakukan melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point Malaysia, di mana IHR Focal Point Malaysia telah berhubung dengan IHR Focal Point Kemboja sejak 14 Februari 2020, sebelum kes positif ini dikesan,” katanya dalam kenyataan.

DZulkefly berkata, beliau telah mengadakan tele persidangan dengan Menteri Kesihatan Kemboja, Prof Mam Bunheng, bagi memperkukuhkan kerjasama di antara dua negara dalam usaha menangani kejadian jangkitan Covid-19.

Pada tele persidangan itu, beliau maklumkan kepada Bunheng bahawa pesakit warganegara AS itu menunjukkan tahap kesihatan yang semakin baik.

“Saya turut memaklumkan bahawa ujian pengesahan Covid-19 ulangan telah dijalankan mengikut tatacara yang telah ditetapkan dan didapati masih positif sambil mengharapkan keadaan kesihatan pesakit berkenaan bertambah baik.

“KKM akan terus bekerjasama secara rapat dengan semua negara yang terlibat dan pihak WHO dalam pengurusan kes Covid-19 dan penyelarasan maklumat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO dan orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya disamping langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette