KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman fitnah bernilai RM10 juta yang difailkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan bermula pada akhir September tahun ini.
Saman tersebut difailkan berikutan penerbitan artikel bertajuk ‘Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road on integrity’ yang telah ditulis Kit Siang dengan mendakwa Apandi bersubahat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Mahkamah Tinggi, Amizah Omar menetapkan 28 September sehingga 2 Oktober ini bagi perbicaraan kes berkenaan dengan pengurusan kes terakhir ditetapkan pada 2 April nanti.
Mohamed Apandi yang berpengalaman lebih 45 tahun dalam bidang undang-undang telah memfailkan saman itu pada 5 Julai tahun lalu menerusi Tetuan Saibullah M.V. Nathan & Co dengan menamakan Kit Siang sebagai defendan tunggal dalam saman berkenaan.
Mohamed Apandi yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 mendakwa perkataan-perkataan fitnah di dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau telah bersubahat dan terlibat dalam kegiatan jenayah.
Antaranya termasuk dalam skandal kewangan 1MDB, tidak mempunyai integriti dan tidak bermoral, tidak beretika dan menyalahguna kuasa sebagai peguam negara pada masa itu.
Beliau juga mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan sengaja ditulis untuk menjatuhkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia.
Kata beliau, semua itu telah dilakukan demi mendapatkan publisiti murahan selain mendakwa dengan penerbitan artikel itu menyebabkan beliau berasa malu terhadap keluarga, kenalan dan warga profesional dalam kalangan ahli jurusan undang-undang.
Dakwanya, penerbitan artikel itu kini diketahui orang ramai kerana ia telah disiar semula dan dikongsi melalui sistem pesanan Whatsapp, Twitter serta lain-lain forum media sosial seperti Facebook.
Dalam pada itu, Mohamed Apandi telah menuntut ganti rugi umum sebanyak RM10 juta dan pampasan lain iaitu ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan termasuk faedah sebanyak lima peratus.
Pada 2016, Mohamed Apandi pernah bertindak membersihkan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada salah laku dalam kes 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. kerana ketiadaan bukti mencukupi bagi dakwaan penyewelengan tersebut.
Antara saksi yang difahamkan akan memberi keterangan bagi kes itu termasuk bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan peguam cara negara yang sudah bersara, Datin Paduka Zauyah T Loth Khan. – MalaysiaGazette
Kita akan tahu banyak kes skandal 1MDB lepas ini kerana masing-masing akan membuka rahsia. Tahniah kepada Apandi dan Lim. Jangan lupa klik saya di bawah.