Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Kedua Projek Reben Kuning di Spaceribix Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2020

PUCHONG – Kos padang baharu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang bakal dinaik taraf bernilai RM10 juta merupakan pelaburan berbaloi.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, proses menaik taraf itu perlu bagi memastikan kualiti padang berada pada tahap terbaik.

Jelas beliau, apatah lagi Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan rumah bagi Harimau Malaya dan sering mendapat maklum balas negatif daripada pelbagai pihak.

“Kita hendak pastikan stadium yang menjadi padang rumah bagi Harimau Malaya berada dalam keadaan terbaik, kualiti terbaik

“Saya telah arah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berbincang mencari padang terbaik yang boleh dipakai, tahan lama mengikut cuaca walaupun kos tinggi namun pelaburan berbaloi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Reben Kuning dan Majlis Pelancaran Tahun Kedua Projek Reben Kuning 2020 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil dengan menggantikan ‘cow grass’ sedia ada dengan rumput ‘zeon zoysia’ bermula hujung tahun ini dengan anggaran bajet RM10 juta termasuk penggunaan mesin yang dikhaskan untuk rumput ini.

Mengulas kos padang baharu bernilai RM10 juta, Syed Saddiq mengakui jumlahnya adalah besar namun percaya PSM dapat melaksanakan projek itu.

“Seperti kita maklum, tahun 2018 adalah pertama kali PSM ada keuntungan walaupun geran kerajaan dikurang.

“Tahun lepas PSM catat untung tertinggi RM7.9 juta walaupun ini kadang-kadang mereka rugi RM20 juta setahun.

Sementara itu, pemilihan rumput zeon zoysia sama seperti yang telah diguna pakai di Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Nasional Singapura dan beberapa stadium di Thailand.

Pelan ini akan bermula penghujung tahun ini dan dijangka siap tiga bulan berikutnya. – MalaysiaGazette