KUALA LUMPUR – Sebanyak 71% responden Malaysia yang terlibat dalam Kajian Workmonitor Suku Keempat Randstad 2019 menjangkakan ekonomi negara pada tahun ini akan lebih baik.
Malah, 82% responden menjangkakan prestasi kewangan majikan mereka akan lebih baik pada tahun ini berbanding tahun 2019.
Kajian itu telah dijalankan dari 22 Oktober hingga 6 November lalu.
Pengarah Urusan Randstad Singapura dan Malaysia, Jaya Dass berkata, banyak perniagaan tempatan berharap untuk melihat peralihan daripada perang perdagangan global dan peningkatan keyakinan pengguna sepanjang tahun ini.
Di samping itu, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur dan membangunkan bandar raya sekitar Kuala Lumpur juga dijangka dimulakan pada tahun ini.
“Faktor-faktor ini meningkatkan keyakinan para pekerja tempatan, yang berharap dapat melihat lebih banyak pekerjaan baru yang mencabar dan memberi ganjaran di pasaran.
“Walau bagaimanapun, perniagaan tempatan akan terus mengawasi kesan ekonomi daripada pertumbuhan perdagangan global yang lemah dan wabak Covid-19,” katanya.
Tambah beliau, terdapat jangkaan tinggi untuk kenaikan gaji dan bonus di Malaysia, yang mana lebih daripada lapan daripada 10 responden mengharapkan gaji meningkatkan (81 peratus) atau bonus satu kali (84 peratus) pada akhir tahun kewangan fiskal majikan.
“Sejajar dengan hasil tinjauan itu, pekerja Malaysia sentiasa menyifatkan kedudukan gaji dan ganjaran kewangan sebagai faktor penting yang akan menentukan kesetiaan mereka terhadap majikan.
“Bagi memastikan kualiti hidup di Malaysia bertambah baik, pekerja tempatan bercita-cita mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi bukan hanya untuk membayar keperluan, tetapi juga menjalani kehidupan yang lebih selesa,” ujarnya.
Dalam kajian itu mendapati, satu daripada tiga responden (33 peratus) telah menukar majikan dalam tempoh enam bulan yang lalu.
Manakala, 37% responden pula menyatakan mereka sedang mencari kerja baru.
“Ramai orang cenderung untuk memulakan mencari kerja baru selepas mereka menerima bonus akhir tahun mereka, terutama jika mereka tidak mempunyai peluang untuk dipromosikan atau menerima kenaikan gaji pada tahun 2020.
“Mobiliti bakat adalah yang paling tinggi pada permulaan tahun ini, tetapi ia juga memberi peluang yang baik untuk majikan menyemak semula jurang kemahiran mereka dan bakat perlu mengoptimumkan produktiviti tenaga kerja,” kata Dass. – MalaysiaGazette