Hotel TH & Residence di Kuala Terengganu.

KUALA LUMPUR – Penamatan operasi dan perkhidmatan empat buah hotel milik TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) dibimbangi merupakan usaha terancang pihak tertentu untuk melumpuhkan ekonomi umat Islam.

Ini kerana, tiba-tiba sahaja umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan pengumuman bahawa THHR akan menamatkan operasi dan perkhidmatan empat buah hotel miliknya, iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu, mulai 1 April depan.

Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif THHR, Zulkefli Ahmad dalam kenyataan semalam berkata, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut telah dan/atau akan diambil alih oleh, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), dan bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik kepada UJSB.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walau apa sekalipun alasan yang diguna bagi menamatkan operasi dan perkhidmatan hotel-hotel berkenaan, umat Islam di Malaysia wajar bangkit menentang tindakan ini.

Tegasnya, ini kerana hotel-hotel ini bukan sahaja tidak diketahui mempunyai apa-apa masalah besar tetapi adalah juga lambang kebanggaan ummah.

“Hotel-hotel ini adalah bukti bahawa ekonomi umat Islam boleh dimajukan dengan menceburi sektor yang didominasi oleh orang bukan Islam sehingga ia menjadi pilihan bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga bukan Islam tanpa mengabaikan prinsip kepatuhan syariah.

“Seperti yang kita semua tahu, UJSB adalah syarikat milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji, dan seperti yang kita semua juga tahu, Kementerian Kewangan adalah dikuasai oleh pemimpin tertentu,”  katanya dalam satu kenyataan di sini.

Malah, kewujudan hotel-hotel yang memberikan jaminan perkhidmatan patuh syariah serta pematuhan kepada kehendak penyediaan makanan ‘halalan toyyiban’ ini juga adalah pembuka kepada jaringan yang sangat besar dalam mengembangkan ekonomi umat Islam.

Kewujudan hotel-hotel milik THHR ini juga telah memberi ruang pekerjaan yang luas kepada tenaga kerja dan profesional Islam yang kurang diterima dalam sektor lain mahupun dalam sektor perhotelan konvensional, termasuk golongan wanita yang berhijab, untuk berkhidmat.

Lebih jauh dari itu, hotel-hotel milik THHR ini juga telah membuka jaringan yang sangat besar dalam pelbagai industri halal milik umat Islam dan keluaran Bumiputera, contohnya ialah syampu dan sabun serta haruman berasaskan buahan tempatan seperti tembikai susu.

“Bayangkanlah betapa ramai yang akan terjejas ekoran penamatan operasi dan perkhidmatan hotel-hotel ini yang melampaui nasib malang para pekerjanya yang akan kehilangan kerja mereka, sedangkan sebelumnya hotel-hotel ini dirancang untuk diluaskan ke seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.