KUALA LUMPUR – Penurunan unjuran firma-firma penarafan ke atas ekonomi Malaysia menunjukkan ketidakyakinan terhadap jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.8% yang dibuat oleh kerajaan pada tahun ini.
Fitch telah menurunkan unjuran mereka dari 4.5% kepada 3.6% manakala RHB Bank pula telah menyemak kembali unjuran dari 4.3% kepada 4%.
ING Research pula menurunkan daripada 4.5% kepada 3.5% dan Ambank dari 4.8% kepada 4%.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, wabak Covid COVID-19 apabila dapat dibendung penyebarannya masih menyukarkan lagi kebolehcapaian unjuran KDNK pada kadar 4.8%.
Sektor pelancongan dijangka terjejas dan memberi impak yang besar kepada pendapatan negara.
Oleh kerana itu, katanya, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi perlu tampil segera dengan pakej rangsangan ekonomi yang mampu menyerap kelembapan ekonomi yang melanda sekarang.
Menurutnya, tindakan segera penting bagi menghadapi situasi ekonomi tidak menentu sekarang.
Shamsul berkata, tidak ada maknanya angka-angka dan petunjuk ekonomi yang dicanangkan oleh Lim Guan Eng sekiranya hidup rakyat masih lagi susah dan terbeban.
Realitinya, lebih 20 bulan mentadbir negara, pentadbiran Pakatan Harapan bukan sahaja ternyata gagal melakar hala tuju ekonomi yang jelas, malah diburukkan dengan prestasi ekonomi yang semakin suram, yang mana kesannya dirasai oleh rakyat.
“Lebih menghairankan ke manakah hasil dan impaknya bila mana aset-aset negara dijual dan pinjaman yang bertambah-tambah setiap bulan? Ke mana wang itu pergi?
“Sekiranya keadaan ini berterusan, maka rakyatlah yang akan menjadi mangsa hasil eksperimen pentadbiran yang lemah dan gagal,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, rakyat di bawah sudah tidak mampu lagi berhadapan dengan keperitan hidup akibat kenaikan kos sara hidup berterusan. – MalaysiaGazette