Dr. Fathul Bari Mat Jahya

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018 disebabkan fitnah dan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, PH menggunakan strategi tipu daya paling dahsyat menyebabkan rakyat percaya dan membuat perubahan kerajaan secara drastik.

Namun, katanya, kekalahan itu memberi hikmah kepada UMNO, BN dan Pas untuk bermuhasabah serta bekerjasama membentuk Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai September tahun lalu.

“Strategi perang zaman Nabi Muhammad dahulu berbeza dengan tipu daya yang dilakukan kerajaan PH. Kalau kita lihat, tipu dayanya cukup dahsyat sehingga satu perubahan besar rakyat menentang dan menjatuhkan kerajaan BN.

“Kalau ditanya secara asasnya PH memang, rakyat menyatakan kerana janji dalam manifestonya. “Keyword”nya adalah tertipu.

“Namun, pada masa sama ia satu muhasabah yang baik juga untuk sebuah kerajaan yang memerintah selama hampir 61 tahun ini memperbaiki, melakukan reform dari dalam dan luaran,” katanya dalam satu forum Muafakat Nasional semalam.

Menurut Dr. Fathul Bari, kekalahan itu memberikan hikmah kepada mereka, apabila Allah menyatukan dua parti terbesar orang Melayu, Islam iaitu UMNO dan Pas menerusi MN.

Kata beliau, UMNO dan Pas sebelum ini bermusuh begitu lama dan mempunyai perbezaan pendapat serta pandangan yang menyebabkan kedua-duanya berjauhan.

“Akhirnya atas satu matlamat, dengan satu piagam yang cukup jelas, UMNO, Pas bersatu.

“Piagam MN akan disematkan dalam sanubari rakyat di luar sana mengenai hala tuju kita,” katanya.

Beliau berkata, selain berteraskan al-Quran dan Sunnah, MN juga meletakkan kepentingan Melayu, Bumiputera dan tidak mengkesampingkan hak kaum-kaum lain dalam negara ini.

Piagam itu juga katanya, turut meletakkan prinsip utama dalam perlembagaan sebagai terasnya seperti Kedaulatan Raja-Raja, bahasa Kebangsaan, kesejahteraan dan keharmonian negara.

“Semua ini telah dirangkumkan dalam piagam MN dan inilah respon positif hasil dari kejatuhan kerajaan BN yang menjadikan wujudnya taawun dan muafakat antara UMNO dan Pas,” katanya. – MalaysiaGazette