KUANTAN – Bekas Pengurus Pengeluaran Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM273,650 berhubung projek baik pulih pasca banjir 2014.

Tertuduh Jamal Nasir Mamat, 63, dari Taman Mahkota Permai di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tertuduh didakwa menerima suapan daripada pengarah syarikat Top Lead Construction Bhd, Tee Meng Lee antara 5 Dis 2015 dan 26 Okt 2017 di Alliance Bank Malaysia Berhad dan Maybank Islamic Bhd cawangan Kuantan menerusi 11 transaksi perbankan secara dalam talian.

Suapan itu yang melibatkan nilai antara RM4,000 hingga RM90,000 setiap transaksi didakwa sebagai balasan kerana membantu Tee mendapatkan projek baik pulih daripada PAIP secara lantikan terus dan sebut harga yang keseluruhannya bernilai RM3.76 juta.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Wan Shahruddin Wan Ladin menawarkan jaminan sebanyak RM150,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya telah bersara dan perlu menjalani rawatan di hospital kerana sakit jantung.

“Ahli keluarga tertuduh juga dimaklumkan hanya dapat mengumpulkan wang RM60,000 dalam masa singkat bagi tujuan jaminan hari ini. Malah, sepanjang siasatan pihak SPRM, tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Mohd Ghazali membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM80,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dimohon pendakwaan serta menetapkan 4 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.- BERNAMA