Muzzammil Ismail

KUALA LUMPUR – Calon Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Muzzammil Ismail terpalit dengan dakwaan bersengkongkol dengan pengkhianat parti sebenarnya tidak berasas.

Menurut Muzzammil, tuduhan itu disifatkannya tidak masuk akal, lebih-lebih lagi hanya kerana beliau hadir dalam sebuah majlis yang turut dihadiri oleh beberapa individu yang didakwa menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dalam insiden Nothing2Hide sebelum PRU14 lalu.

“Saya lebih awal mengagak perkara ini akan disebarkan secara jahat. Saya dijemput oleh salah seorang penganjur yang merupakan sahabat baik saya, iaitu penasihat majlis NGO kebajikan malam Ahad lepas.

“Saya juga diberi penghargaan untuk menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis tersebut. Majlis tersebut adalah makan malam amal bersama anak tahfiz yang memang menjadi anak angkat sahabat saya ini.

“Saya tahu hal ini akan menjadi isu besar. Kerana ada individu yang bersama Ashraf (Acap). Saya tidak tahu beliau turut bersama dalam majlis itu. Beliau dikaitkan dengan insiden Nothing2Hide di mana terlibat dengan YAB Tun Dr Mahathir,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Gabungan NGO Bersekutu
Gabungan NGO Bersekutu

Ahad lalu, lima Gabungan NGO Bersekutu menganjurkan Majlis Makan Malam Bersama Anak-anak Tahfiz sempena pelancaran gabungan pertubuhan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Ahad lalu.

Majlis yang dihadiri hampir 800 anak muda itu dianjurkan oleh pengerusinya, Yazid Mohd Yusof yang juga rakan baik kepada Muzzammil bertujuan semata-mata untuk merapatkan silaturahim dan bukannya mendorong kepada amalan hidup tidak sihat.

Antara lima Gabungan NGO Bersekutu yang diraikan Muzzammil pada malam itu ialah Pertubuhan Kebajikan AYA Malaysia (AYA), Gerakan Bersatu Organisasi Sayap Semalaysia (GBOSS), Pertubuhan Ikatan Sehaluan Bersatu Malaysia (IS), Pertubuhan Amal Fikrah Cemerlang Kuala Lumpur (AFC) dan Padu Malaysia (PADU).

Dalam pada itu, Muzzammil juga mendedahkan beliau diberi ruang untuk berucap pada majlis NGO itu, namun bukan untuk menghentam Dr Mahathir sebaliknya menyokong kepimpinan Pengerusi Bersatu itu.

“Saya boleh mengelak lari daripada bergambar. Bodoh sangatkah saya nak dikaitkan dengan pengkhianat parti!

“Selepas saya habis memberi ucapan, saya pergi kepada Acap yang dikaitkan dengan Nothing2Hide. Saya hanya cam beliau tidak individu seorang lagi yang dibulatkan dalam gambar. Saya ingin dapatkan kepastian apa kaitan beliau dan cerita sebenar insiden itu,” katanya.

Muzzammil turut mendedahkan bahawa dalang sebenar di sebalik insiden Nothing2Hide sebenarnya bukan Ashraf atau beberapa individu yang dikaitkan dengan pengkhianat parti itu sebaliknya adalah salah seorang pemimpin parti itu.

“Beliau ada bukti katanya. Malah beliau sebut ada orang parti Bersatu yang sehingga hari ini masih menjadi pemimpin adalah dalang insiden itu.

“Banyak lagi hal yang beliau ceritakan. Sehingga ke hari ini ahli-ahli NGO beliau ratusan dan mencecah ribu yang telah beliau daftarkan sebagai ahli Bersatu di sekitar Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette