Haziq Aizuddin Subhi
Haziq Aizuddin Subhi

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra membantah keras cadangan kerajaan untuk mengkaji hukuman mati mandatori berhubung kesalahan berkaitan dadah kepada penjara seumur hidup.

Exconya, Haziq Aizuddin Subhi berkata, cadangan itu, jika menjadi kenyataan akan membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada aktiviti pengedaran dadah.

“Kita sedia maklum, hukuman mati ini bukan bertujuan menghukum semata-mata tetapi dari sudut lain, ia sebagai satu medium pencegahan agar orang awam tidak terlibat atau mendekati aktiviti jenayah ini.

“Oleh itu, Wira Putra membantah keras cadangan pindaan itu kerana bentuk hukuman baharu nanti tidak akan memberi kesedaran dan pengajaran kepada pengedar dadah serta orang ramai,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Di Putrajaya semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah mungkin dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup.

Beliau berkata, kerajaan akan mengkaji undang-undang berhubung kesalahan berkaitan dadah kerana ada pihak berpendapat hukuman dikenakan sekarang terlalu keras.

“Banyak berpendapat dia (hukuman) tak berkesan sebab itu masih ada mereka yang mencari duit tidak halal dengan mengedar dadah,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan.

Menurut Haziq Aizuddin, jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) sayangkan masa depan rakyat negara ini, mereka perlu kekalkan hukuman sedia ada dan perlu bertegas menangani masalah itu.

Kata beliau, walaupun terdapat kes di mana ada pihak mengambil kesempatan menggunakan ‘kaldai dadah’ sebagai kaedah penyebaran, ia melibatkan pihak yang tidak berdosa.

Namun beliau berharap kerajaan akan membuat u-turn semula untuk tidak meminda hukuman itu atas dasar kepentingan awam melebihi emosi atau mana-mana kepentingan individu.

“Wira Putra juga berharap tidak ada udang sebalik batu dalam isu kajian pindaan itu, demi mempertahankan individu atau kumpulan tertentu yang berkepentingan kepada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan kaji hukuman penjara seumur hidup kepada pengedar dadah