PUTRAJAYA- Kerajaan akan mengkaji kemungkinan melaksanakan hukuman penjara seumur hidup bagi pengedar dadah.
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, undang-undang sedia ada ketika ini memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun terdapat beberapa pihak berpendapat hukuman tersebut tidak berkesan untuk membasmi gejala dadah di negara ini memandangkan statistik penyalahgunaan dadah di Malaysia masih tinggi.
“Hukuman yang ada sekarang adalah hukuman mati mandatori dan ini menyebabkan hakim tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman lain.
“Ada yang berpendapat hukuman ini terlalu keras maka kita perlu pinda undang-undang, mungkin dengan melaksanakan penjara seumur hidup,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Bulan Anti-Dadah Kebangsaan 2020 di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Mahathir berkata, kajian untuk meminda undang-undang terhadap kesalahan dadah perlu dilakukan seiring dengan perubahan trend dadah semasa yang kini beralih kepada jenis sintetik.
Tambahnya, usaha membendung gejala dadah dan pelencongan sosial yang lain tidak hanya boleh ditangani oleh kerajaan sahaja tetapi memerlukan sokongan pihak lain seperti swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, pada tahun 2009, hanya 130 jenis NPS dilaporkan. Dari tempoh 2009 sehingga tahun 2019 pula, jumlah jenis NPS yang dilaporkan dari 119 buah negara adalah sebanyak 892 jenis.
“Dadah menjadi sumber pendapatan mudah dan lumayan yang menjadi tarikan berterusan kepada penjenayah tertentu.
“Jumlah nilai rampasan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM3.53 billion, berbanding tahun 2018 sebanyak RM0.58 billion.
“Nilai rampasan yang diperolehi ini menunjukkan bahawa pengedar dadah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan daripada kesengsaraan orang lain,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Bulan Anti-Dadah Kebangsaan.
Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.-MalaysiaGazette