Madinah Mohamad hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-6 kes dalam rasuah melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebentar tadi  membuat pendedahan berhubung Pusat Anak Permata Negara (PERMATA).

Tan Sri Madinah Mohamad  memberitahu, PERMATA merupakan inisiatif Rosmah lebih 10 tahun lepas bagi kepentingan dan kebajikan pendidikan kanak-kanak istimewa serta kurang bernasib baik di negara ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan memohon kebenaran untuk memberikan penjelasan jelas tentang PERMATA dan kaitannya dengan Rosmah.

Madinah juga meminta kebenaran supaya dapat memberi keterangan dalam bahasa Inggeris ketika memberikan keterangan berhubung PERMATA.

Kata Madinah, setahu beliau, Rosmah telah banyak mengabadikan masanya dengan memberikan perhatian menyeluruh kepada PERMATA kerana beliau amat prihatin dengan pendidikan kanak-kanak terutamanya anak-anak istimewa.

Jelasnya, Rosmah sebenarnya seorang yang bersifat penyayang dan sentiasa peka dalam memperjuangkan nasib kanak-kanak tidak bernasib baik melalui PERMATA sepanjang masanya.

“PERMATA merupakan idea isteri kepada Perdana Menteri ketika itu, Datin Rosmah Mansor. Beliau sangat mementingkan pendidikan serta perkembangan golongan kanak-kanak, apatah lagi yang kurang bernasib baik dan anak-anak istimewa.

“Beliau telah membantu ramai kanak-kanak sepanjang menjadi penaung kepada PERMATA di negara ini, inisiatifnya adalah memberikan yang terbaik kepada golongan ini.

“Antara visi serta misi Datin Rosmah tidak lebih daripada melibatkan kepentingan pendidikan kanak-kanak ini, oleh yang demikian beliau sentiasa memberi peringatan kepada setiap kementerian supaya memainkan peranan sepatutnya dalam memastikan objektif PERMATA berjaya.

“PERMATA boleh dianggap telah memberikan peranan cukup penting dalam sistem pendidikan negara kerana memberi peluang kepada kanak-kanak dari sekolah rendah hingga menengah mendapat pendidikan sewajarnya,” katanya.

Madinah berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika prosiding kes rasuah solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang juga dikaitkan dengan Rosmah.

Sekurang-kurangnya seramai 500,000 kanak-kanak mengikuti program itu dengan 300 kanak-kanak dikenal pasti mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi.

Antara tujuh bidang PERMATA meliputi PERMATA Negara, PERMATA Pintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan, Perkasa Remaja, PERMATA Kurnia dan Hospital Pakar Kanak-Kanak PERMATA.

Dalam pada masa sama, Akberdin juga sempat bertanya kepada Madinah adakah beliau benar-benar ingat seandainya Rosmah pernah mengingatkan bekas KSU itu untuk mempercepatkan projek solar itu.

Akberdin: Rosmah ketika memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sememangnya tidak ingat insiden yang anda katakan itu. Bahawa beliau ketika berangkat pulang, sempat menurunkan cermin kereta dan memberitahu anda perkara itu.

Mungkinkah anda yang tidak ingat tentang tarikh kejadian pada majlis PERMATA, adakah kemungkinan sebenarnya Rosmah tidak keluarkan kenyataan percepatkan projek solar itu?

Madinah: Saya tidak setuju kerana saya ingat tentang kejadian itu.

Perbicaraan terus bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan. -MalaysiaGazette