Bangunan baharu IYC di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Golongan belia disarankan menggunakan kemudahan yang disediakan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) sebaik mungkin menerusi aktiviti sukarelawan yang bermanfaat.

Itu harapan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas hadir merasmikan bangunan baharu Blok B, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di Jalan Bandar Tun Razak, Cheras hari ini.

“Bangunan baharu ini akan memastikan lebih banyak bidang antarabangsa khususnya dalam kalangan anak muda dapat dibawa ke sini.

“Pada masa yang sama bukan sekadar hanya menganjurkan persidangan malah mahu lebih banyak anak muda gunakan sepenuhnya platform yang disediakan IYC supaya dapat pergi ke luar negara, daripada segi kemahiran dan kesukarelawanan.

“Maka saya yakin sepenuhnya kemudahan ini dimanfaatkan sepenuhnya golongan anak muda kita dengan aktiviti sukarelawan, latihan kepimpinan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memotong riben dan menyempurnakan bangunan baharu itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr. Waitchalla R.R.V. Suppiah merangkap Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan IYC.

Perancangan bangunan ini bermula 4 Disember 2015 menerusi Rolling Plan Ke-4 di bawah Projek Pembangunan agensi Kementerian Belia dan Sukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Kerja pecah tanah bagi pelaksanaan projek itu diadakan pada 7 November 2016 oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Majlis Perakuan penyerahan Kerja Siap Bangunan disempurnakan oleh Waitchalla pada 13 Januari lalu di IYC.

Bangunan bekrenaan menyediakan penginapan jenis bilik berdua sebanyak 50 bilik, dua unit aparment, dua unit suit, sebuah bilik mesyuarat, empat bilik seminar, ruang makan, ruang rekreasi dan surau.

“Kemudahan ini adalah tambah nilai kepada kemudahan sedia ada di IYC bagi menampung keperluan penganjuran program dan aktiviti serta persidangan di peringkat nasional melibatkan anak muda kita.

“Kemudahan yang memberi taraf hotel bandar ini memberi ruang kepada IYC untuk membuka penggunaan kepda semua peringkat golongan sasaran disamping meningkatkan pasaran IYC sebagai institusi pembangunan belia yang kemudahan setanding luar negara,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast