KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih skuad terjun kebangsaan yang didakwa merogol seorang atlet terjun kebangsaan pada 2017 dibebaskan buat kali ketiga oleh mahkamah hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Huang Qiang, 38, yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2018 dan 2019, untuk dibebaskan selepas menolak rayuan oleh pihak pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Nazlan berkata hakim perbicaraan itu telah mengikut Seksyen 173(m) (i) Kanun Tatacara Jenayah yang mempertimbangkan kesemua keterangan dalam mahkamah sebelum membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Pihak pembelaan menumpukan kepada isu selang masa yang menunjukkan waktu tertuduh berada di gim kering dan sekembalinya ke kolam seperti yang direkodkan oleh kamera litar tertutup (CCTV), versi pembelaan menunjukkan bahawa tertuduh tidak mempunyai cukup masa untuk kejadian rogol itu berlaku,” katanya dan menambah perkara ini tidak menyokong kes pendakwaan.

Hakim Mohd Nazlan berkata, tiada bukti mangsa menolak atau meminta bantuan apabila insiden rogol itu berlaku.

“Walaupun terdapat bukti daripada beberapa saksi bahawa tertuduh mempunyai kecenderungan untuk tingkah laku agresif, bahkan ganas, yang menyokong alasan mangsa atas keengganannya melaporkan dakwaan perbuatan rogol itu.

“Bagaimanapun, masih ada peluang yang mencukupi untuk mangsa melaporkan kejadian itu kepada orang lain, seperti mana-mana rakan sepasukannya dan bukannya membuat laporan polis lima hari selepas kejadian yang didakwa itu,” katanya.

Hakim itu berkata, laporan perubatan dan bukti oleh doktor yang melakukan pemeriksaan ke atas mangsa hanya mendapati kesan koyakan lama, yang diakui mangsa bahawa dia telah melakukan hubungan seksual dengan seorang teman lelaki sebelum ini.

“Saya juga mengambil kira bahawa berdasakan perbualan WeChat dan keterangan saksi-saksi, terdapat bukti bahawa tertuduh telah melakukan gangguan seksual pada waktu lain dan bukan hanya terhadap mangsa tetapi sekurang-kurangnya seorang lagi atlet terjun,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan keterangan keseluruhan, beliau mendapati hakim yang mendengar kes itu tidak terkhilaf dalam keputusannya yang mendapati tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Oleh itu, penghakiman dalam mahkamah itu adalah betul bahawa pihak pendakwaan tidak membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah. Ada dalam penghakiman saya bahawa tiada kesilapan yang boleh dirayu.

“Justeru, saya menolak rayuan oleh pihak pendakwaan dan mengesahkan pembebasan tertuduh daripada pertuduhan yang dihadapinya,” katanya.

Pada 9 April 2018, Huang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini tanpa dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 31 Oktober 2018 pula, Mahkamah Tinggi mengarahkan beliau untuk membela diri selepas membenarkan rayuan daripada pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskannya.

Beliau dibebaskan buat kali kedua pada akhir kes pembelaan tahun lepas yang membawa kepada pihak pendakwaan sekali lagi memfailkan rayuan yang membawa kepada keputusan hari ini.

Huang didakwa merogol seorang penerjun kebangsaan berusia 20 tahun di Kompleks Akuatik Sukan Negara di Bukit Jalil di sini pada 5.30 petang, 26 September 2017.

Huang yang memperoleh kewarganegaraan Malaysia, didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar manakala peguam Mohd Hisham Md Nen mewakili Huang. – Bernama