Ashraf Mustaqim Badrul Munir

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kecewa dengan tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menamatkan prosiding jenayah terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menerusi kuasa budi bicara Tommy.

Exco Pendidikannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berpendapat Tommy perlu menilai kembali tindakannya itu.

Malah katanya, Armada turut risau terhadap tindakan Peguam Negara itu apabila pengguguran pendakwaan tersebut mengkususkan kepada kedudukan LTTE di Sri Lanka dan Kesatuan Eropah (EU) semata-mata melalui keterangan Tommy,  sekali gus seakan beliau telah membelakangkan undang-undang negara.

“Andai undang-undang tidak dijadikan panduan, maka apa guna kita bernegara,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Ashraf merujuk kepada hujah Tommy yang menyatakan adalah menjadi perkara lazim untuk seseorang individu mengagungkan mana-mana personaliti termasuk personaliti sejarah dan ahli politik dan itu merupakan tema umum untuk semua 12 individu yang dituduh berkaitan LTTE.
.
“Setiap seorang daripada mereka mempunyai di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook mereka gambar pengasas LTTE, Velupillai Prabhakaran dan pemimpin-pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa perang saudara di Sri Lanka.
.
“Sekiranya perbuatan sedemikian boleh terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati,” kata Tommy dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Ashraf, ia merupakan kenyataan yang tidak berasas dan bertentangan atas nasib tangkapan lain yang pernah ditahan kerana dikatakan menyokong Daesh ataupun IS.

Katanya, Tommy perlu lebih berhati-hati atas segenap dakyah yang mampu merosakkan keharmonian dan menggugat keselamatan negara.

“Negara Malaysia ini negara berdaulat.

“Sekiranya Peguam Negara itu sendiri membelakangkan undang-undang dan seakannya tidak mampu memaknai nilai keadilan, pada hemat saya sendiri selaku salah seorang Exco Armada merasakan beliau wajar meletakkan jawatan!” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apsal nak kecewa? Ketua korang yg lantik dia… Si tua kutuk pengkhianat agama dan bangsa. Penyelamat kununnnnn…

    Skrg lihat kerosakan demi kerosakan yg dia buat… X cukup 22 tahun… Tambah lg… Biar terbakar kuburnya nanti…

Comments are closed.