Mohamad Ezam Mohd Nor.

KUALA LUMPUR – Sebarang bentuk usaha pengumpulan undi percaya untuk Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kekal satu penggal dan pelbagai komplot perlu dihentikan.

Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, Pakatan Harapan (PH) juga mesti tegas memastikan tidak wujud lagi kenyataan sumbang dalam kalangan pemimpinya sendiri seperti Timbalan Presiden PKR yang cuba menidakkan atau menafikan proses peralihan berlaku.

Menurutnya, kenyataan membodek Perdana Menteri dengan gesaan kekal sepenggal daripada pemimpin tidak boleh dibiarkan berlaku lagi di dalam PH selepas ini.

“Gerakan Reformasi yang digiatkan semula oleh pendokong reformasi 1998 yang bermula Januari tahun ini akan diteruskan selepas ini dengan tumpuan untuk memastikan anasir-anasir jahat luar dan dalam yang terus mahu menggagalkan peralihan akan menghadapi tentangan tegas dan tanpa kompromi dari setiap pejuang perubahan,islah dan reformasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ezam berkata, beliau positif terhadap keputusan PH malam tadi yang telah menetapkan secara rasmi bahawa peralihan kuasa Perdana Menteri akan dilakukan selepas APEC, November ini.

Menurutnya, keputusan itu menggambarkan PH mengambil maklum gesaan PKR dan rakyat bahawa peralihan kuasa adalah isu penting bagi kelangsungan ekonomi dan negara.

“Walaupun kita menuntut ianya dilakukan sesuai dengan janji 2 tahun dan berlaku Mei 2020, kita akur dengan keputusan dan kebijaksanaan Majlis Presiden PH yang menetapkan ianya berlaku selepas sidang APEC November ini.

“Makanya keputusan dibuat dengan jelas malam tadi bahawa ianya akan dilakukan selepas APEC.

“Keputusan PH itu juga adalah satu penegasan dan isyarat paling jelas bahawa komplot jahat untuk menggagalkan peralihan daripada berlaku yang cuba dilakukan oleh anasir luar dan dalam tidak diterima sama sekali oleh PH,” tambahnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.