Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tengah) berbual bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

PUTRAJAYA – Satu pertemuan tertutup dihadiri beberapa pemimpin PKR yang dipercayai menyokong Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali awal pagi tadi.

Ia berlaku selepas selesai mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, lewat malam tadi.

Pertemuan dengan ‘kem Azmin’ itu diadakan di Pulse Grande Hotel, di tengah-tengah bulatan besar Putrajaya.

Dipercayai pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden PKR yang bercuti, Zuraida Kamaruddin.

Pertemuan itu berakhir jam 1.45 pagi tadi.

Ia turut dihadiri Ketua Cabang PKR Batu Pahat yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, Hishamuddin Rais dan Timbalan Menteri Pengangkutan, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Media yang berada di hotel berkenaan sempat bertanyakan kepada Rashid Hasnon mengenai pertemuan ini, namun beliau mengunci mulut.

“Tak ada apa (perbincangan),” katanya kepada media.

“Malam dah. Nak tidur,” kata Hishammuddin Rais.

Turut hadir adalah Naib Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu dilihat meninggalkan hotel berkenaan jam sekitar jam 1.30 pagi melalui tingkat bawah hotel.

Azmin turut dipercayai berbuat tindakan sama apabila meninggalkam hotel berkenaan.

Zuraida pula dipercayai melalui pintu belakang hotel untuk meninggalkan hotel.

Lewat tengah malam tadi, Azmin tidak menghadiri sidang media yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selepas selesai mesyuarat.

Beliau dilaporkan mengadakan pertemuan dengan penyokongnya sejurus mesyuarat Majlis Presiden PH selesai. -MalaysiaGazette