Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir pada Program Kayuhan Kasih bersama TPM di Stadium MPAJ, Pandan Perdana, Ampang. foto AFFAN FAUZI, 22 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu permasalahan lain yang lebih besar, penularan wabak COVID-19 dan keadaan ekonomi negara yang mungkin terjejas menjadi fokus utama.

Kata beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri akan tetap berlaku seperti yang telah dijanjikan dan ia telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi.

“Kita akan menerajui negara sebanyak yang kita boleh, pada masa ini kita ada banyak masalah lain yang perlu menjadi fokus utama juga.

“Antaranya penularan wabak COVID-19 dan kesannya kepada ekonomi negara selepas itu. Itu adalah fokus utama kita ketika ini.

“Peralihan kuasa itu akan tetap berlaku seperti yang telah di janjikan sebelum ini. Ianya juga telah disepakati semalam ketika mesyuarat.

“Kita ada perjanjian dan ianya telah disepakati. Tarikhnya pula selepas APEC (Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik),” katanya kepada pemberita pada program ‘Fun Ride 2020’ di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mesyuarat Majlis PH malam tadi, sebulat suara bersetuju peralihan kuasa Perdana Menteri ditentukan sepenuhnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyifatkan mesyuarat yang berlangsung mulai jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam tadi membincangkan secara panjang lebar, Tun Mahathir berkata, secara keseluruhan ianya lebih kepada masa depan PH.

“Ada dua pendapat, akhirnya saya rasa bangga, semuanya diserah kepada saya, apa saya kata, mereka akan turut.

“Peralihan berlaku lepas APEC, ‘no time, do date, no nothing’ (tiada masa, tiada, tarikh, tiada apa pun).

“Semuanya terpulang pada saya, sama ada nak lepas atau tidak. Itu kepercayaan parti kepada saya, Alhamdulillah,” katanya Tun Mahathir lewat malam tadi.

Dr. Mahathir juga mendedahkan tidak ada sebarang perbincangan berhubung melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 dalam mesyaurat tiga jam itu. –MalaysiaGazette