Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad digesa mengambil tindakan ke atas Tan Sri Tommy Thomas bagi memastikan undang-undang negara ini tidak terus dilacurkan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad, Tommy tidak layak untuk terus menjawat jawatan sebagai Peguam Negara kerana tindakannya menamatkan prosiding undang-undang ke atas 12 tertuduh yang berdepan dengan tuduhan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah satu tindakan yang benar-benar mencabar kredibiliti Polis Diraja Malaysia.

Beliau seolah-olah memandang remeh isu keselamatan negara, ujarnya sambil menambah isu keselamatan negara bukan satu perkara yang boleh dipolitikkan.

Noraini berkata, beliau sangat hairan bagaimana Tommy boleh memohon kepada Kementerian Dalam Negeri untuk tidak menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas, Malaysia bukan satu-satunya negara berbuat demikian.

“Tidakkah Tommy sedar bahawa tindakannya ini boleh mendatangkan bahaya kepada negara dan rakyat Malaysia? Adakah keselamatan negara ini tidak menjadi keutamaan beliau dalam membuat pertimbangan?” soalnya.

Tommy, kata Noraini telah memberi isyarat salah kepada rakyat Malaysia dan dunia kerana Malaysia dianggap mengiktiraf kumpulan pengganas. – MalaysiaGazette