Datuk Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’ mengkhianati mandat rakyat melalui PRU-14, tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Padukan Dr. Ibrahim Ali.

Beliau menegaskan, disebabkan itu banyak pihak sebelum ini menentangnya termasuk yang disuarakan berkali-kali oleh Pas sebagai tidak bermoral.

“Ianya tidak bermoral. Kita yakin rakyat mampu memilih yang terbaik sesudah melalui pengalaman PRU-14. Maka, semua mesti berdepan dengan rakyat.

“Sekiranya ada gabungan baharu yang mahu dibentuk, sewajarnya pengumuman rasmi dibuat supaya rakyat boleh membuat pertimbangan semula kredibiliti gabungan baharu mana-mana parti politik sedia ada,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, kecoh dengan tindakan lima presiden parti politik dari UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Warisan dan Parti Gabungan Sarawak (GPS) mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan senarai jumlah Ahli Parlimen yang menandatangani Surat Akuan Sumpah (SD).

Menurut  Ibrahim, beliau dan seluruh kepimpinan parti Putra mengambil maklum berkaitan perkembangan politik semasa sejak awal pagi semalam dan mengikuti rapat perkembangan yang berlaku.

Beliau menzahirkan wujudnya kebimbangan rakyat berkaitan ketidaktentuan politik itu kerana terlalu banyak khabar angin yang tersebar sejak tengah hari semalam.

“Kita tidak berniat mencampuri percaturan politik yang sedang dibuat, asalkan ianya dibuat mengikut lunas demokrasi.

“Sekiranya keadaan ini berlarutan, Putra bimbang akan memberi kesan buruk kepada pasaran saham, dan tanpa kestabilan politik pastinya mudah unsur subversif menyelinap masuk dan akan ada golongan ekstrimis yang akan mengambil kesempatan akibat kemelut yang sedang melanda negara ini.

“Kemelut ini mungkin berpanjangan jika tiada mana-mana Ahli Parlimen memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan untuk membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut difahamkan, ada Ahli Parlimen menandatangani dua SD iaitu yang menyokong PH dan PN. Jika ini benar, lagilah ianya tidak bermoral. Ianya menjurus kepada ketidaktentuan dan kewibawaan Parlimen.

“Bagi menyelesaikan kemelut ini, Putra mencadangkan kepada Tun Dr. Mahathir (Mohamad) untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen ke-14 bagi membolehkan rakyat diberi mandat sekali lagi untuk menentukan kepimpinan negara melalui proses Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau berharap, Perdana Menteri sentiasa meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politik mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.