Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (tengah) dan barisan kepimpinan tertinggi DAP bercakap semasa sidang media pada Mesyuarat Jawatankausa Kerja Pusat (CEC) DAP di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad secara jelas menyatakan beliau tidak mahu bekerjasama dengan UMNO.

Itu kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menceritakan pertemuannya dengan Mahathir di kediamannya pagi tadi.

“Mahathir telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak boleh bekerja dengan UMNO apabila kita telah bertungkus lumus untuk menolak UMNO dengan jayanya dalam Pilihan Raya Umum 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“DAP ingin memuji pegangan berprinsip Mahathir untuk menolak kerjasama dengan UMNO yang dimana pemimpin mereka terbabit dengan amalan-amalan rasuah yang telah menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai “kleptokrasi global yang terburuk.”

“Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk meletakkan jawatan atas prinsip untuk menegakkan integriti dan melawan rasuah,” katanya.

Justeru, katanya, kedudukan berprinsip dan juga konsisten ini dalam menolak UMNO yang korup ini haruslah disokong oleh semua rakyat Malaysia.

Oleh itu, DAP berhasrat untuk mengesyorkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk mencalonkan semula Mahathirs kekal sebagai Perdana Menteri supaya PH dapat terus memenuhi dan menyampaikan janji-janji dalam manifesto pilihan raya.

Dalam pada itu, DAP juga mengutuk perbuatan khianat beberapa pemimpin dan ahli parlimen PH yang mencuba untuk menubuhkan sebuah kerajaan melalui pintu belakang.

Guan Eng berkata, pakatan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional yang terdiri daripada UMNO, Pas, MCA, dan MIC bersama dengan beberapa pemimpin PPBM dan mereka yang telah dipecat daripada PKR yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Manipulasi politik ini telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani isu ekonomi dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat biasa dan perniagaan,” ujarnya dalam kenyataan yang sama,

Menurut Guan Eng, cubaan khianat untuk menafikan mandat yang telah diberikan rakyat kepada PH itu menyebabkan Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PPBM. – MalaysiaGazette