KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen Muafakat Nasional (MN) mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, petang ini.
Kehadiran mereka untuk menyatakan sokongan dan pandangan masing-masing, bagi memudahkan proses pembentukan kerajaan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara automatik terbubar berikutan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi PH, semalam.
Berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sehingga tempoh penjumlahan sokongan Ahli Parlimen selesai, yang dijangka petang esok.
MN yang diwakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengadakan pertemuan khas di Bangunan Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kira-kira jam 12 tengah hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Khairy Jamaluddin, Datuk Bung Moktar Radin, Datuk Seri Tajuddin Rahman, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari; dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Semua mereka yang berpakaian baju Melayu, samping hitam dan bersongkok bertolak dari PWTC menaiki bas kira-kira jam 2.35 petang.
Difahamkan, seramai 90 Ahli Parlimen dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini, manakala baki 131 lagi tidak termasuk Dr. Mahathir dijangka menghadap baginda esok.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menjelaskan, proses temu bual itu akan dilakukan sendiri Yang di-Pertuan Agong dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, makluman kepada semua Ahli Parlimen berkenaan dilakukan pihak Istana Negara semalam, selaras dengan Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Setiap Ahli Parlimen diperuntukkan antara dua hingga tiga minit untuk menyatakan pandangan masing-masing sepanjang proses temu bual berlangsung. – MalaysiaGazette