KUALA LUMPUR – Rombongan dua bas persiaran yang membawa lebih 40 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tiba di Istana Negara pukul 3.33 petang tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kehadiran mereka bagi memenuhi undangan YDPA dalam sesi temubual yang akan dikendalikan oleh baginda sendiri yang memakan masa dua hingga tiga minit bagi setiap seorang.
Ahli Parlimen BN yang hadir ke Istana Negara pada petang ini diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan diiringi oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.
Turut kelihatan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.
Hadir sama Presiden MCA selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Wee Jit Seng.
Terdahulu, sebuah bas persiaran lain turut membawa Ahli-ahli Parlimen Pas yang tiba di Pintu 2, Istana Negara kira-kira jam 2.47 petang.
Turut menarik perhatian ramai petugas media apabila Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menaiki kereta Toyota Vellfire tiba di Istana Negara kira-kira jam 3.08 petang tadi.
Sesi temuduga ahli-ahli Parlimen dengan YDPA hari ini membabitkan 90 orang dan baki daripada 222 kawasan akan disambung esok. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: