Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah memberi perkenan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pagi ini.

Amirudin berkata, Sultan Selangor berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Negeri Selangor pada Pilihanraya Umum 2018 yang lepas dan baginda memberi perkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi dan berjalan seperti biasa.

“Terdahulu saya telah bermesyuarat dengan pengerusi parti-parti komponen kerajaan termasuk YB Dato’ Abdul Rashid Asari selaku Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Selangor bagi membincangkan hala tuju Selangor.

“Justeru pentadbiran ini berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat untuk negeri dan rakyat Selangor seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette