Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media khas di Bangunan Dato' Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menegaskan semua Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Pas masih teguh bersama meskipun usaha-usaha memecahkan belahkan parti itu sedang dijalankan.

Setiausaha UMNO itu mendakwa, ada pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan keraguan terhadap Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Najib Razak dan lain-lain lagi.

“Berani saya tegaskan ALHAMDULILLAH SEMUA KAMI MP UMNO DAN BN SOLID BERSAMA..begitu juga UMNO DAN PAS,” kata Annuar menerusi Twitter.

Bahkan, ujar beliau, UMNO dan Pas redha meneruskan peranan mereka sebagai pembangkang walaupun Pakatan Harapan telah roboh.

Semalam, Muafakat Nasional (MN) mengambil pendirian memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

Annuar yang juga Setiausaha Bersama M berkata, MN menarik balik surat akuan sumpah (SD) yang dipersembahkan Presiden UMNO, Pas, MCA, MIC dan PBRS kepada Yang di-Pertuan Agong Ahad lalu selepas MN tidak bersetuju dengan kaedah pembentukan kerajaan perpaduan yang dianjurkan Perdana Menteri interim itu.

Menurut Annuar, apa yang dilakukan Dr. Mahathir dianggap tidak adil kepada rakyat dan sepatutnya kerajaan perpaduan dibentuk secara prinsip demokrasi berparlimen, bukan dengan individu yang memilih beliau.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pula menegaskan pembubaran Dewan Rakyat adalah cara terbaik dalam menangani kekalutan politik semasa. – MalaysiaGazette