KUALA LUMPUR – Dua lagi tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana terlibat menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dilepas dan dibebaskan hari ini.
Mahkamah Tinggi di sini telah mengeluarkan perintah pembebasan itu selepas mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas supaya tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua 12 tahanan yang berkaitan kumpulan LTTE.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd Ghazali dan Mohamed Zaini Mazlan kemudian bertindak melepas dan membebaskan dua lagi tahanan akhir iaitu ahli perniagaan, B. Subramaniam dan penjaga stor, S. Thanagaraj hari ini.
Sebelum itu, pada Isnin lepas, Mahkamah Tinggi telah melepaskan lapan orang tahanan termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran.
Manakala semalam, ADUN Gadek, G Saminathan juga pemimpin DAP dilepas dan dibebas tanpa sebarang pertuduhan terhadap mereka selepas ini berkait dengan dakwaan di Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.
Ketika ditemui pemberita, Subramaniam atau lebih terkenal dengan nama US Subra melahirkan rasa syukur dan gembiranya dengan keputusan Peguam Negara yang bertindak menghentikan prosiding terhadap mereka.
“Pastinya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AG, Tommy. Tanpa keputusan bijak daripadanya, tidak mungkin kami semua dapat keluar. Lagi-lagi, kami sebenarnya tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa.
“Bukan sesuatu yang senang untuk kami duduk di dalam penjara tanpa pasti apa sebenarnya yang akan terjadi kepada kami masa depan kami serta nasib keluarga kami. Semua itu adalah satu mimpi ngeri buat saya sendiri. Terima kasih banyak, akhirnya kami dapat pengadilan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam saya, S. Selvam dan Gaithri Thomas yang tidak berputus asa dan cuba yang terbaik bagi pembebasan ini. Kami bebas akhirnya, tidak dapat digambarkan perasaan ini,” ujarnya.
US Subra sebelum ini didakwa telah menggunakan laman sosial Facebook beliau atas nama ‘US Subra Subramaniam’ sebagai platform dalam menyatakan sokongannya kepada LTTE yang masih lagi di anggap aktif sebagai kumpulan pengganas di negara ini.
Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau niat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.
Sebelum ini juga, US Subra pernah melahirkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disokongnya kerana mendakwa membiarkannya meringkuk dalam penjara.
Dalam pada itu, seorang lagi tertuduh, Thanagaraj yang turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan pengganas itu dalam telefon bimbitnya di dua lokasi berbeza di Pulau Pinang pada 12 Oktober tahun lalu diwakili oleh peguam MIC yang diketuai oleh RT Rajasekaran.
MIC melalui nasihat presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran telah menawarkan khidmat guaman percuma bagi membantu Thanagaraj yang ditahan tahun lalu.
Sebelum ini, beberapa kali permohonan ikat jamin oleh 12 tahanan ditolak mahkamah berikutan kesalahan yang dilakukan itu sangat berat namun selepas mendapat ‘budi bicara’ daripada Tommy akhirnya prosiding terhadap mereka dihentikan.
Pada 21 Februari lalu, Tommy memutuskan tidak meneruskan prosiding terhadap 12 tertuduh atas alasan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap 34 pertuduhan yang dihadapi mereka. – MalaysiaGazette