KUALA LUMPUR – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bersetuju kegawatan negara akan pulih sepenuhnya dengan memberi mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan melalui Pilihan Raya Umum (PRU).
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, dalam mesyuarat parti itu di ibu negara pagi semalam, mereka telah meluluskan satu resolusi, iaitu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menyelesaikan kemelut ini politik hari ini dengan membubarkan parlimen.
“Pandangan (resolusi) ini telah disampaikan kepada pucuk pimpinan BN hasil daripada perbincangan bersama. Keputusan yang kita capai itulah kita persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.
“Inilah kita rasa cara paling baik, paling adil,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau mengecam Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang berterusan menyerang MCA dan BN dengan mendakwa parti itu sebagai pengkhianat menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
“Ini (tuduhan) semua mengarut. Yang menyebabkan berlaku keadaan huru hara disebabkan kesilapan mereka sendiri.
“Mereka sendiri yang menyebabkan perkara ini berlaku sehingga kerajaan PH runtuh. Ia tidak ada kena mengena dengan kami,” tegasnya.
Menurut Ka Siong, BN sebagai blok pembangkang berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkan negara dari kegagalan kerajaan PH.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan pula berkata, pendirian parti itu sebagai komponen BN ialah menyerahkan kuasa kepada rakyat.
Katanya, biar rakyat memilih sebuah kerajaan dan tidak ada mana-mana organisasi atau individu boleh merampas hak rakyat. – MalaysiaGazette
Bubar parlimen. Itulah kehendak rakyat. Yang Dipertuan Agong perlu ambil kira hasrat rakyat yang menderita ini. Pemimpin-pemimpin PH hidup mewah dengan kroni-kroni mereka. Rata-rata rakyat di luar sana hidupnya susah. Kesian rakyat dengan janji-janji manifesto yang tidak tertunai oleh PH. Jalan keluar terbaik adalah diadakan pilihanraya semula.