Sebahagian Ahli Parlimen DAP menaiki bas semasa hadir untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 129 ahli parlimen telah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi sesi kedua temubual hari ini.

MalaysiaGazette dimaklumkan pihak berkuasa Istana Negara, hanya dua ahli Parlimen yang tidak memenuhi undangan YDPA dalam sesi temubual bersama baginda yang berakhir hari ini.

Antaranya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Presiden Parti Warisan yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Difahamkan, Mohd. Shafie menghantar wakil namun tak diterima pihak istana.

Nazri Abdul Aziz

Menurut sumber, ketidakhadiran ahli Parlimen itu tidak memberi sebarang kesan kepada YDPA.

Terdahulu, kira-kira 42 ahli Parlimen daripada DAP antara kumpulan terakhir yang menghadap YDPA bagi sesi temubual secara bersemuka hampir dua jam itu.

Kesemua ahli Parlimen DAP itu menaiki sebuah bas persiaran yang kelihatan meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 4.25 petang tadi.

Antara kelihatan dalam bas persiaran itu ialah, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Batu Kawan, Khasturi Patto.

Selain DAP, sesi temubual itu terdahulu dihadiri oleh 39 ahli Parlimen daripada PKR yang diketuai oleh presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menaiki kereta jenis Lexus berwarna biru gelap manakala ahli-ahli Parlimen PKR lain menaiki bas persiaran KL Hop-On Hop-Off.

Antara Ahli Parlimen PKR ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya; Shamsul Iskandar Md Akin dan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Selain itu, kira-kira 11 ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) turut menyusul selepas rombongan PKR.

Antara dilihat hadir ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Pulau, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli.

Kehadiran Ahli Parlimen PKR dan Amanah disambut oleh penyokong mereka yang berhimpun di luar pekarangan Istana Negara sejak jam 10 pagi tadi.

Kebanyakan mereka membawa bendera PKR dan tidak kurang pula membawa kain rentang Otai Reformis.

Suasana luar Pintu 2 Istana Negara agak tegang susulan penyokong dan Ahli PKR membuat kecoh termasuk melaung-laungkan slogan reformasi sepanjang sesi temubual bersama YDPA. – MalaysiaGazette