Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Meskipun berbeza ideologi dan aspirasi namun PKR, Amanah, DAP dan Bersatu berjaya mencari satu titik persamaan menerusi Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.

Ia seterusnya menjadi panduan kepada semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara di bawah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng

Namun begitu, menurut Guan Eng, aspirasi tersebut tidak dapat diteruskan lagi apabila Dr. Mahathir tegas untuk terus meletakkan jawatan dan menolak untuk meneruskan janji-janji manifesto PH.

“Dalam perbincangan saya dengan Tun Dr Mahathir pada 25 Februari 2020 di Pejabat Perdana Menteri, beliau telah menolak untuk kekal sebagai Perdana Menteri PH dan menolak untuk terus memenuhi janji-janji Manifesto PRU PH.

“Sejak 21 bulan yang lepas, kerajaan PH telah bekerja keras untuk memenuhi janji-janji manifesto secara berperingkat.

“Antaranya termasuklah penurunan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan sebanyak 18 peratus bagi kenderaan persendirian dengan jaminan tidak ada sebarang kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi, dan projek MySalam yang menawarkan bantuan kewangan bernilai di antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal.

“Malah, kerajaan PH juga memansuhkan GST yang digantikan dengan SST dan membayar semula pemulangan kutipan GST yang berjumlah RM19.4 bilion, dan mengekalkan kedudukan kredit antarabangsa negara walaupun kerajaan terpaksa membayar berpuluh bilion ringgit kerana skandal 1MDB, Tabung Haji dan pelbagai skandal-skandal lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, kerajaan PH turut menyambung semula projek-projek infrastruktur utama selepas mencapai penjimatan lebih daripada RM50 bilion melalui rundingan semula dan rasionalisasi projek kerajaan terdahulu.

Ia juga telah mempercepatkan proses digitalisasi melalui penggalakan penggunaan e-dompet, mencipta 350,000 peluang pekerjaan untuk mereka yang menganggur melalui projek MalaysiaKerja yang bernilai RM6.5 bilion, dan pelbagai inisiatif lain lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kalau mahadir tak nak tunai janji ph. anwar lah yang akan lakukan nya. janji nak potong hutang peneroka dengan felda. kalau ph tak janji pun felda boleh lakukan. nak dengan tidak saja. hutang rekaan dan tipuan belaka.

Comments are closed.