Seperti biasa, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bertolak ke pejabat beliau di Putrajaya bagi memulakan tugasnya pada hari ketiga sebagai Perdana Menteri Interim.

Kenderaan rasmi Malaysia 2020 yang membawa Ahli Parlimen Bebas Langkawi itu meninggalkan kediamannya di The Mines Residence dekat sini tepat 8.16 pagi tadi.

Beliau diiringi hampir tujuh kereta pengiring termasuk MPV polis dan motosikal berkuasa tinggi melepasi Palang automatik Pondok Keselamatan di Pintu B perumahan itu.

Sebagai rutin, beberapa pengawal keselamatan yang bertukar syif pagi tadi, siap memberi tabik kepada Dr Mahathir semasa kenderaannya melintas palang automatik tersebut sambil menyebut “Selamat Pagi Tun” ke arah pemimpin berusia 94 tahun itu.

Beliau sempat memandang dan melambai tangan kepada pengamal-pengamal media yang bertugas berhampiran kediaman beliau. Kediaman Dr Mahathir menjadi tumpuan media sepas beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 dan Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Isnin lalu.

Dalam pada itu, media difahamkan Dr Mahathir akan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara 11 pagi ini. Jam 3 petang ini pula, Dr Mahathir dijadualkan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi di Putrajaya.

Semalam Al-Sultan Abdullah selesai menemubual kesemua 221 Ahli Parlimen satu persatu di Istana Negara sebahagian daripada proses pelantikan Perdana Menteri Baharu bagi menamatkan kemelut pentadbiran kerajaan yang dihadapi negara ketika ini.