Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) petang ini baru sahaja selesai dengan semua anggota parti komponen enggan memberikan sebarang ulasan berhubung agenda yang dibincangkan.

Ketika ditemui kesemua mereka memberitahu, kenyataan hanya boleh diberikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Mesyuarat yang bermula pukul 3 petang tadi berakhir setengah jam kemudian dengan semua ahli-ahli Parlimen BN termasuk ahli Majlis Tertingg UMNO (MT) beredar seorang demi seorang.

Sumber memberitahu, semua ahli-ahli Parlimen BN mendapat arahan agar tidak keluar dari ibu negara ketika ini.

Tidak diketahui sebab mengapa arahan tersebut dikeluarkan namun, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut politik yang melanda ketika ini.

Hari ini Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, belum ada sebarang keputusan sama ada mahu membentuk kerajaan baharu atau sebaliknya kerana proses temubual 221 Ahli Parlimen belum berjaya meyakinkamn Yang Yang Dipertuan Agong. – MalaysiaGazette