PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) hari ini sekali lagi mengadakan satu mesyuarat.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sebuah hotel di sini pada jam 1.13 petang untuk menghadiri mesyuarat tersebut.
Turut hadir Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.
Juga kelihatan berada di lokasi, Pengarah Strategik Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Hari ini Majlis Raja-raja bersidang bagi mencari penyelesaian terhadap situasi politik terkini setelah Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Tun Dr Mahathir Mohamad kini menggalas tugas sebagai Perdana Menteri Interim selepas melepaskan jawatan pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi proses pemilihan Perdana Menteri akan diadakan pada Isnin ini,.
Menurut beliau, keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau memberitahu, pihaknya telah menerima surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat yang ditandatangani oleh Dr. Mahathir bahawa kerajaan bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin ini.
Namun, beliau mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana ia tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap. – MalaysiaGazette