Azhar Azizan Harun.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak ada masalah untuk menyediakan senarai data lengkap pengundi berdaftar dengan segera sekiranya situasi politik semasa negara memaksa pilihan raya mengejut diadakan dalam tempoh terdekat.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sudah bersiap sedia daripada segi pentadbiran dan logistik untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keadaan semasa memaksa pembubaran Parlimen dan mendorong kepada suatu pilihan raya diadakan.

“Kita mesti melaksanakannya (PR) jika keadaan diperlukan sebab di bawah Perlembagaan Persekutuan kalau Parlimen dibubarkan, pilihan raya mesti diadakan dalam masa 60 hari daripada tarikh pembubaran tersebut.

“Kita kena terimalah(jika keputusan bubar)..SPR perlu melaksanakan proses itu mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana itu tanggungjawab SPR…kita akan sampaikan seperti yang dikehendaki situasi semasa nanti,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan SPR sekiranya proses Sidang Khas Dewan Rakyat dan undi 222 Ahli Parlimen dalam menentukan pentadbir kerajaan baru gagal dan menjurus kepada pembubaran Parlimen dan pilihan raya.

Dalam pada itu, Azhar menjangkakan kos dana menguruskan PRU kali ini akan berlipat ganda berbanding PRU14 yang menelan perbelanjaan antara RM500 juta hingga RM600 juta.

“Jadi kalau keadaan akhirnya membawa kepada PRU, mungkin (perbelanjaan) boleh jadi more kan,” katanya lagi.

Beliau berkata, penambahan saluran mengundi dan kemudahan logistik serta penambahan kakitangan SPR secara tidak langsung menyumbang kepada penambahan kos perbelanjaan pilihan raya.

Disoal sama ada pilihan raya tergempar akan menyukarkan penyediaan data lengkap pengundi berdaftar yang layak mengundi nanti, katanya situasi itu tidak berlaku.

Jelas beliau, pihaknya tidak akan berdepan masalah mengumpulkan dan mengeluarkan jumlah pengundi layak undi kerana data itu dikemaskini setiap bulan mengikut undang-undang secara teratur dan ia tidak akan memberi masalah.

Azhar berkata, SPR memantau perkembangan semasa secara teliti ketika ini.

“Apapun, jika proses demokrasi dan senario semasa membawa kepada PRU, maka kami perlu melaksanakannya kerana sudah siap sedia,” ujarnya.- MalaysiaGazette