Gambar hiasan

TIADA apa yang dapat dilakukan oleh rakyat melainkan mengharapkan Yang Dipertuan Agung (YDPA) membuat keputusan tepat dan bijak dalam menangani kemelut politik yang sedang melanda negara.

Gembira, terkejut, cemas, keliru, kecewa dan seumpamanya terus menghambat hati dan perasaan rakyat di setiap lapisan masyarakat. Pastinya apa yang berlaku adalah amat tidak sihat.

Satu daripada pelajaran pahit tapi maha penting yang harus parti politik dan para pendukungnya pelajari khususnya parti bukan M Meredakan Kegelisahan Rakyat

Tiada apa yang dapat dilakukan oleh rakyat melainkan mengharapkan Yang Dipertuan Agung (YDPA) membuat keputusan tepat dan bijak dalam menangani kemelut politik yang sedang melanda negara.

Gembira, terkejut, cemas, keliru, kecewa dan seumpamanya terus menghambat hati dan perasaan rakyat di setiap lapisan masyarakat. Pastinya apa yang berlaku adalah amat tidak sihat.

Satu daripada pelajaran pahit tapi maha penting yang harus parti politik dan para pendukungnya pelajari khususnya parti bukan Melayu ialah jangan sesekali memperkotak-katikkan hak dan keistimewaan, raja dan agama orang Melayu itu.

Ingatlah bahawasanya bangsa Melayu telah terlalu banyak berkorban untuk negara ini dan telah terlalu banyak bertolak ansur demi memberi ruang seluas-luasnya kepada rakan-rakan berlainan bangsa untuk berjaya dan hidup aman bahagia di negara ini.

Kekayaan bangsa lain tidak pernah dicemburui oleh orang Melayu malah dihormati. Berjuta orang Melayu bekerja untuk bangsa lain di negara ini hingga pemilik perusahaan itu menjadi kaya-raya. Jadi mengapa kebaikan orang Melayu tidak pernah kalian hargai?

Sesungguhnya pengalaman sepanjang hampir 2 tahun lalu banyak mengguris hati dan perasaan orang Melayu. Rayuan, kekesalan, kekecewaan, dan tangisan orang Melayu dipandang sepi oleh kerajaan.

Agama mereka diperolok-olokan, raja mereka dipersendakan, hak keistimewaan mereka dipertikaikan, kebanggaan mereka dihapuskan satu persatu, panji-panji kemegahan mereka dipersenda sedangkan ramai anak bangsa bernama Melayu ini gugur demi mempertahankan maruah dan tanah ini.

Orang Melayu Perlu Bertenang

Apapun perkembangan politik yang bakal dimuktamadkan kelak, janganlah sesekali orang Melayu raikan dengan sorak tawa, pesta-pestaan mencaci cela akan mereka yang tidak sehaluan atau mereka yang melukakan hati kita selama ini.

Teruslah melangkah dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan kerendahan hati. Ingatlah, bahawasanya Allah masih menyayangi bangsa Melayu walaupun terlalu banyak dosa yang telah kita lakukan.

Beringatlah sebelum segalanya terlambat dengan memperbaiki kesilapan lalu. Bersatulah dan insafilah kesalahan lalu. Ingatlah perpecahan hanya membawa kepada kelemahan, kehinaan dan kehancuran buat bangsa dan agama kita.

Buat pemimpin parti politik Melayu, renunglah sedalam-dalamnya akan kesan kesilapan kalian selama ini. Setiap kali kalian berselisih faham, kalian akan berpecah dan menubuhkan parti baru. Apa yang berlaku hari ini banyak berpunca dari ketamakan, keegoan dan kesombongan kalian.

Andainya benar kalian kembali bersama dan membentuk kerajaan, janganlah kalian teruskan perangai buruk yang meletakkan kerjasama itu atas sebab politik lepartian dan peribadi kalian semata-mata.

Berusahalah untuk bergabung sepenuhnya walaupun sukar. Jika kalian benar-benar jujur pasti kalian boleh menemui titik persamaan akan falsafah dan ideologi perjuangan kalian.

Sewajarnya tidak perlu sampai ada lima parti politik orang Melayu. Ia merugikan dan melemahkan bangsa kita. Ingatlah iaitu apabila lemah, kalian terpaksa menagih sokongan parti lain atau bangsa lain dan ini membolehkan mereka mengenakan syarat yang bukan-bukan. Tidak mustahil hingga apa yang termaktub dalam Perlembagaan akan mereka ganggu gugat.

Ini pasti berlaku apabila kalian terdesak, walaupun berat, tidak mustahil kalian merelakannya. Bayangkan jika kalian bersatu, dan Melayu itu kuat, pasti mereka tidak meminta atau meletakkan syarat yang bukan-bukan.

Kerisauan Orang Cina & India

Kepada pemimpin dan orang Melayu, jangan balas segala provokasi yang bangsa lain lontarkan kepada bangsa kita selama ini.

Benar, kita juga tahu apa itu marah tapi ingatlah bahawasanya terdapat mereka yang menghina bangsa, raja dan agama kita itu diupah ataupun terlalu mentah dan tidak faham untuk hidup dalam suasana bertolak ansur dan harmoni.

Benar bahawasanya kita juga ada maruah, ada harga diri dan sewajarnya mereka yang melampau harus menerima akibat atas kebiadapan mereka.

Namun ingatlah iaitu jika kita melakukan perkara sama seperti mereka lakukan kepada kita maka kita jadi sama seperti mereka. Ia akan membuang masa kita dan akhirnya membawa kepada kemusnahan kepada negara.

Sesungguhnya masih ramai rakan-rakan kita berbangsa Cina, India dan lain-lain yang menghargai persabatan sesama kaum selama ini.

Untuk itu mari kita hulurkan tangan persahabatan kita kepada mereka seperti mana datuk dan nenek kita pernah lakukan kepada datuk dan nenek mereka dahulu.

Kepada rakan berbangsa Cina, India dan lain-lain, ingatlah bahawa tanah ini adalah Tanah Melayu, tanah tumpah darah orang Melayu. Walau sekuat mana kalian mahu melihat kesamarataan antara kaum dalam semua perkara, sewajarnya kalian perlu ada keinsafan dan kesedaran dalam diri akan ketuanan orang Melayu di bumi Tanah Melayu ini.

Pastinya kalian sedar bahawa hak kalian untuk berusaha sehingga berjaya dan hidup bahagia bersama keluarga tidak pernah kami dinafikan, maka jangalah kalian lupa akan adab hidup bersama dalam masyarakat majmuk di bumi yang tuannya adalah orang Melayu.

Bersihkanlah hati kalian apabila melihat usaha dibangunkan untuk membantu orang Melayu. Adakah kalian berasa gembira melihat kaum majoriti terus dibelenggu kemiskinan sedangkan kalian terus mengorak langkah dan berjaya.

Jika benar kalian gembira melihat rakan kalian iaitu orang Melayu terus tercicir, itu bermakna kalian memang berhati kotor, keterlaluan dan zalim.

Namun begitu, pihak kerajaan perlu memastikan segala inisiatif pembangunan ekonomi orang Melayu perlu dilaksanakan dengan sungguh-sungguh. Tiada ketirisan, tiada kebocoran. Bangsa Melayu perlu diupayakan hingga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain.

Kerajaan sewajarnya tidak mengulangi kesilapan lalu. Di masa yang sama bantu juga orang Cina, India dan lain-lain bangsa yang layak menerima bantuan. Sesungguhnya Malaysia memerlukan pelan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan telus. Bukan pelan pembangunan ekonomi yang membuat Melayu, Cina, atau India mahupun bangsa lain yang sudah kaya terus kaya.

Kesimpulan

Sesungguhnya tiada pilihan buat orang orang Melayu selain dari bersatu. Buat pemimpin Melayu, insafilah kesalahan lalu dan berjanjilah yang kalian akan mengutamakan bangsa, agama dan negara berbanding parti dan diri kalian.

Buat masyarakat Cina, India dan lain-lain bangsa, jujurlah dalam membina negara ini. Jangan kalian melampaui garis tolak ansur orang Melayu. Ingatlah kejayaan yang pernah dikecapi bersama berdekad-dekad lalu terbina atas asas iaitu sikap bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati sesama kita.

Bersatulah seluruh rakyat Malaysia demi mengembalikan maruah negara kita ini. Dahulu kita dikagumi dan dipuji tetapi kini ditertawa dan dikeji. Malu dan sedih rasa hati tanahair dipersenda di sana sini.

Pastinya ini semua berlaku atas sebab ketamakan pemimpin kita dan kita iaitu rakyat Malaysia sendiri sehingga sanggup meruntuhkan nama baik negara yang kita bina bersama-sama selama ini atas sebab perebutan kuasa.

Ingatlah, Malaysia tidak akan aman sekiranya orang Melayu dipinggir dan dihina, haknya dinafikan dan dianiaya, rajanya dimalukan dan dipersenda, dan agamanya di perkotak katik dan dicerca. Namun, Malaysia juga tidak akan berjaya jika orang Cina, India dan lain-lain bangsa ditindas dan dianiaya.

Jadi terimalah takdir yang telah ditetapkan untuk kita iaitu kita saling memerlukan satu sama lain dalam membina negara ini. Itulah uniknya kita dan itulah juga sebabnya mengapa Allah merahmati tanah tumpah darah kita selama ini. Bersatulah seluruh rakyat Malaysia, marilah kita bina kembalikan maruah dan kegemilangan negara kita. Sesungguhnya masa depan negara kita di tangan kita. Majulah Negaraku. – MalaysiaGazette