Suasana di luar Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat tergempar berikutan pengumuman pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Media yang sudah berkumpul sejak jam 3 petang tadi menyaksikan ramai Ahli Parlimen dalam kalangan PKR, Amanah dan Bersatu hadir dengan kenderaan masing-masing namun enggan menurunkan cermin atau bercakap dengan wartawan.

Malah pengawal keselamatan juga telah memberi arahan supaya tidak begitu mendekati kenderaan-kenderaan pemimpin ini.

Antara yang dipercayai telah tiba di Yayasan Al-Bukhari termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mujahid Yusof, Gobind Singh Deo, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Anthony Loke.

Namun kelibat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah atau Lim Guan Eng tidak pula dapat dipastikan seandainya sudah berada dalam mesyuarat ketika ini.

Ada juga pemimpin menggunakan kenderaan bercermin gelap dan nombor plat yang lain daripada biasa sehingga pihak media sukar mengenalpastinya.

Sebelum ini, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah memberitahu media pihaknya dalam PH sudah mempunyai nombor mencukupi bagi menubuhkan kerajaan serta terkejut dengan pengumuman Istana.

Malah kata bekas Menteri Asas Tani itu, PH akan membuat rayuan terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelantikan Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat ketika ini.

Sekitar 5 petang tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Cukup2lah kamu melalut tu…. jgn tambah beban lagi…. Ini mcm derhaka kpd DYMM Agong …tak puashati lagi…. bilang tidak gila kuasa……

Comments are closed.