Mohd. Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor merakamkan sembah tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kebijaksanaan baginda dalam menangani krisis politik di Johor secara tuntas dan berhikmah.

Ketua pemudanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kebijaksanaan baginda dalam menangani kemelut yang berlaku di Johor ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan wajar dijadikan teladan kerana meletakkan kepentingan kerajaan dan rakyat sebagai keutamaan.

“Keputusan DYMM Tuanku memanggil kesemua ADUN bagi bertanyakan sokongan membuktikan baginda bersikap adil sebelum membuat keputusan bersandarkan kepada kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hairi turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan UMNO Johor, Bersatu dan PAS kerana meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding memikirkan kedudukkan dan jawatan.

Justeru, beliau menyeru supaya segala perbezaan yang berlaku sebelum ini diketepikan semoga “Muafakat Johor” yang baharu dibentuk idapat menjalankan amanah dengan baik bagi memacu pembangunan negeri yang akhirnya rakyat mendapat manfaatnya.

“Pemuda UMNO Johor berharap seluruh barisan Jawatankuasa yang bakal dibetuk dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi demi rakyat yang mahukan pembelaan,” katanya. – MalaysiaGazette.