Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Mengangkat Sumpah Perdana Menteri ke-8 iaitu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pintu 2 Istana Negara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menyatakan komitmennya untuk membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjalankan tugas baharunya sebagai perdana menteri.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak untuk menyokong dasar baharu yang bakal diperkenalkan Ahli Parlimen Pagoh itu demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Episod dan babak awan hitam telah pun berlalu dan langit kembali cerah. Insya-Allah kita parti-parti komponen dalam BN akan memberikan dokongan dan sokongan terhadap dasar-dasar baru Tan Sri Muhyiddin.

“Kita akan membantu sedaya upaya mungkin bagi menentukan bahawa rakyat benar-benar diutamakan, rakyat harus dibela semula, penganiayaan terhadap rakyat, bantuan kepada rakyat harus dikembalikan semula,” katanya kepada pemberita di luar Pintu 2, Istana Negara hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid bersama lebih 20 kenderaan yang membawa ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, Pas, Bersatu dan GPS kelihatan meninggalkan Istana Negara, kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.

Kehadiran ahli-ahli parlimen daripada Perikatan Nasional itu bagi mengiring Muhyiddin dalam Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Ke-8 di Balairong Seri, Istana Negara, yang bermula jam 10.30 pagi tadi.

Semalam, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat.

Ia proses lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.

Istana Negara kemudiannya menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri sekaligus melenyapkan kemelut politik yang berlaku sejak minggu lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast