Dewan Rakyat Parliament
Dewan Rakyat

Oleh: DR MUHAMMAD FATHI YUSOF

KETETAPAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkaitan pelantikan Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Perdana Menteri melegakan politik negara.

Pelantikan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan itu ibarat penutup tirai kepada polemik politik yang menggemparkan negara hampir seminggu.

Seluruh rakyat terutamanya pemimpin politik dan dan para penyokong wajar menghormati keputusan berkenaan, dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Ketetapan YDPA tentunya tidak boleh dipersoal dan dirayu.

Perkara 40(2) secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang tertentu termasuklah melantik seorang Perdana Menteri.

Budibicara Baginda adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana tribunal atau mahkamah.

Bahkan dalam melaksanakan budi bicara ini, YDPA mempunyai kuasa yang amat luas. Hal ini boleh difahami dari perkataan yang digunakan dalam Perkara 43(2)(a). Peruntukan Perlembagaan itu menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang “pada hematnya mungkin” mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Perkataan “pada hematnya” dan perkataan “mungkin” menggambarkan betapa luasnya budibicara YDPA. Baginda sebenarnya boleh membuat keputusan berdasarkan pertimbangan umum atau secara subjektif. Jika Baginda berbuat demikian ia tetap tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Namun, kita semua tahu, walau pun Perlembagaan memberikan banyak kelonggaran, Baginda tetap memilih cara yang amat teliti dan objektif termasuklah melalui pertemuan bersemuka dengan hampir semua 222 orang Ahli Parlimen. Amat mendukacitakan, jika ketelitian dan keprihatinan Baginda ini dibalas dengan pertikaian dan usaha untuk membuat rayuan atau cadangan balas.

Jika ingin mencabar sekali pun, pentas yang disediakan adalah persidangan Dewan Rakyat, melalui usul tidak percaya. Itu pun jika ahli politik masih mahu meneruskan episod percakaran politik seperti yang disaksikan dalam tempoh seminggu ini.

Rakyat sebenarnya sudah bosan dengan polemik dan pergolakan politik. Seminggu yang berlalu dengan penuh episod-episod bolak-balik politik, perundingan sokongan dan perebutan pengaruh antara ahli politik hampir-hampir menghilangkan keyakinan rakyat kepada elit politik.

Jika berlaku usul tidak percaya di Dewan Rakyat, dipercayai pilihan terbaik ialah pembubaran Parlimen bagi memberikan hak kepada rakyat untuk memperbaharui mandat bagi membentuk kerajaan baharu.

Ringkasnya, rakyat mahukan pentadbiran yang lancar bagi memacu pembangunan negara. YDPA telah membuat keputusan yang jelas. Oleh itu, dinasihatkan agar semua pihak menerima dengan hati yang lapang dan tidak mempersoal ketetapan YDPA. Rakyat dan pemimpin perlu sama-sama melihat ke hadapan dan memadamkan sengketa silam bagi memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast