KUALA LUMPUR- Setakat jam 12 tengahari tadi terdapat empat kes baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, kes ke-26 melibatkan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 52 tahun.
Pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari lalu dan selepas mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 27 Februari dia terus mendapatkan rawatan pesakit luar di sebuah hospital swasta.
Pesakit sah positif Covid-19 pada 29 Februari dan telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya.
Kes ke-26 pula melibatkan merupakan seorang jururawat pelatih berusia 20 tahun.
Dia sedang menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24.
Pada 21 dan 22 Februari dia telah mengendalikan kes terbabit tanpa memakai sebarang peralatan perlindungan diri (PPE) seperti disarankan.
Selepas mengalami gejala batuk pada 27 Februari dan menjalani ujian pengesanan Covid-19, jururawat wanita warga tempatan itu disahkan positif virus berkenaan pada 29 Februari.
Dia sedang diisolasi dan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur ketika ini.
Kes ke-28 pula melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 45 tahun yang merupakan rakan sekerja kepada kes ke-25.
Dia bersama-sama dengan kes ke-25 dan seorang lagi rakan sekerja mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali pada 15 hingga 21 Februari 2020.
Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan, dia telah dikesan dan didapati mempunyai gejala sejak 26 Februari 2020.
Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari 2020. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya.
Kes ke-29 merupakan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 35 tahun.
Terdahulu, pesakit telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada 21 Februari 2020 dan ditempatkan di bilik berdua dengan kes ke-24; yang pada ketika itu belum diketahui dijangkiti COVID-19.
Pada 25 Februari 2020, wanita tersebut telah dibenarkan pulang ke rumah bagaimanapun pada 27 Februari 2020, dia mula merasa tidak sihat – mengalami gejala demam dan batuk.
Namun, tidak mendapatkan sebarang rawatan. Semasa aktiviti pengesanan kontak rapat dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah, dia telah dikenalpasti sebagai salah seorang dari kontak rapat kepada kes ke-24.
Ujian saringan pengesanan Covid-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 29 Februari 2020.
Pesakit telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya.
Dengan empat kes terbaharu, jumlah kumulatif kes COVID-19 sehingga pukul 12 tengah hari 1 Mac 2020 adalah sebanyak 29 kes; iaitu 17 orang dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), 10 orang dalam kalangan kontak rapat dan dua orang dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.
Dari jumlah tersebut, 15 orang adalah warganegara China, 11 orang adalah warganegara Malaysia dan tiga orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali).
Daripada 29 kes positif ini, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj – menjadikan kes yang masih menerima rawatan di wad pada ketika ini seramai tujuh orang.- MalaysiaGazette