PUTRAJAYA – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau sudah biasa dipecat dan bersedia untuk menghadapi sebarang risiko berkaitan jawatan dalam parti.
Selain Mukhriz, antara lain yang berkemungkinan berhadapan dengan tindakan pemecatan termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi Bersatu serta Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah hari ini juga menegaskan, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah menjadi pilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebagai calon Perdana Menteri.
“Ketika mesyuarat MPT lepas, kita pimpinan tertinggi sebulat suara membuat dua ketetapan.
“Yang pertamanya, kita hanya mencalonkan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-8.
“Ketetapan kedua pula, Kita telah menarik balik dan menolak keputusan Tun Mahathir yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu sebelum ini,” katanya selepas mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian Armada di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Isnin lepas, MPT sebulat suara mengambil ketetapan untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. – MalaysaGazette
Keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan yang berlangsung lebih dua jam di Menara Yayasan Selangor Isnin lepas.
Mengumumkan perkara itu, Setiausaha Agung PPBM Datuk Marzuki Yahya berkata parti turut mengambil pendirian menolak surat peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti tersebut. -MalaysiaGazette